Padah curi tong gas!

Tertuduh, Rahim Rahimi, dipenjara sembilan bulan selepas mengaku salah mencuri tong gas milik sebuah kedai runcit di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.
A
A

KUALA TERENGGANU- Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini kerana mencuri satu tong gas bernilai RM130 milik sebuah kedai runcit.

Keputusan dibuat selepas tertuduh, Rahim Rahimi, 30, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana curi dalam bangunan.

Tertuduh didakwa melakukan kecurian itu di sebuah kedai runcit di Tok Jiring, Kuala Terengganu, jam 12.15 tengah hari pada 23 April lalu.

Mangsa menerima panggilan daripada anaknya memaklumkan tong gas tersebut telah dicuri seorang lelaki dengan menggunakan Perodua Alza.

Susulan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Gong Badak dan tertuduh ditahan di hadapan sebuah kedai runcit di Kampung Tok Jiring, di sini kira-kira jam 2.25 petang pada hari sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Ka Full di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.