Perlu dapat kebenaran BNM untuk pinda dana asing - Saksi

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengurus Ambank cawangan Jalan Raja Chulan, R Uma Devi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa kebenaran daripada Bank Negara Malaysia (BNM) diperlukan untuk memindah dana yang melebihi RM50,000 ke bank dalam negara.

Uma Devi, 40, saksi pendakwaan ke-21 berkata, dana asing melebihi RM50,000 akan diperiksa oleh unit pengubahan wang haram di setiap cawangan bank.

Beliau berkata demikian pada perbicaraan hari ke-11 kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Najib, 66, berdepan tiga pertubuhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan tiga pertuduhkan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, saksi itu berkata, beliau tidak ingat sama ada timbul keraguan apabila sejumlah besar wang dipindahkan ke akaun Najib.

Beliau berkata bank tidak menjalankan sebarang siasatan berdasarkan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 bagi sebarang transaksi melibatkan akaun berkaitan dengan Najib.

Muhammad Shafee: Berapa banyak dana yang boleh menyebabkan siasatan diadakan?

Uma Devi: Biasanya apabila melebihi RM50,000, bank akan mempertimbangkannya.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Shafee: Tujuan siasatan untuk mengesan sumbernya?

Uma Devi berkata tujuan siasatan adalah untuk mengetahui ‘tujuan dan mengesan sumber dana’.

Semasa ditanya mengenai kawalan BNM, beliau berkata terdapat prosedur dalam pemindahan mata wang asing ke akaun penduduk Malaysia.

"Saya tidak tahu (mengenai prosedur), tetapi apa sahaja RM50,000 dan ke atas ia menimbulkan keraguan mengenai kenapa anda menerimanya atau kenapa pembayaran itu dibuat di luar negara," katanya.

Muhammad Shafee: Melihat kepada semua dokumen, adakah kamu melihat sesuatu yang tidak kena berkaitan dengan kes ini, dan keterangan kamu mengenai pelbagai akaun berkaitan dengan Najib? Kamu tidak mendapati sebarang dokumen yang menimbulkan keraguan berhubung sumber dana-dana itu atau mensyaki apa-apa?

Uma Devi: Tiada dalam rekod.

Ketika ditanya sama ada beliau lebih mengetahui mengenai pemindahan dana yang didakwa daripada Kementerian Kewangan Arab Saudi dan Putera Faisal bin Turki ke dalam akaun Najib, saksi itu berkata hanya pegawai terlibat dengan pengiriman wang yang mengetahuinya.

Muhammad Shafee: Siapa di Bank Negara yang akan memberi kebenaran untuk urus niaga sedemikian?

Uma Devi: Biasanya pelanggan perlu mendapat kebenaran daripada bank pusat. Menjadi tanggungjawab pelanggan mendapatkan kebenaran BNM. Perlu ada surat kebenaran, jika tidak, bank tidak akan meneruskan (transaksi).

Sementara itu, semasa disoal balas oleh pendakwa raya ad hoc Datuk V Sithambaram, beliau berkata Nik Faisal Ariff Kamil tidak boleh mengeluarkan wang daripada akaun Najib.

(Nik Faisal telah diberi mandat menjalankan transaksi perbankan beberapa akaun Ambank Najib)

Sithambaram: Mandat diberikan kepada Nik Faisal. Beliau boleh mengeluarkan wang dari akaun Najib?

Saksi itu menjawab: “Tidak."

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali disambung. - Bernama