Suami bakar isteri kerana cemburu

Gambar Hiasan. (Gambar kecil:Mohd Nor Yhazid Idris)
Gambar Hiasan. (Gambar kecil:Mohd Nor Yhazid Idris)
A
A
A

MELAKA TENGAH - Angkara cemburu buta, bekas banduan sanggup membakar isterinya sehingga badan wanita berkenaan terbakar kira-kira 70 peratus dalam kejadian di Taman Krubong Permai, Krubong di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi, lelaki berusia 45 tahun itu membakar isterinya dipercayai menggunakan petrol yang diambil dari tangki motosikal milik wanita berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai insiden itu ketika mangsa menerima rawatan di zon merah Hospital Melaka kerana disyaki dibakar oleh suaminya.

Menurutnya, berdasarkan laporan yang diterima operasi mengesan suspek digerakkan pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah sebelum menemukan suspek di kawasan bekas tempat pelupusan sampah di Krubong kira-kira jam 3 petang.

"Selepas anggota memperkenalkan diri, suspek cuba melarikan diri ke kawasan semak berhampiran namun berjaya ditahan.

"Suspek yang tidak berbaju dan hanya berseluar pendek baru dibebaskan dari Penjara Sungai Udang pada 17 April lalu," katanya.

Mohd Nor Yhazid berkata, hasil siasatan awal suspek mengaku terbabit dengan kejadian itu selain berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol semasa kejadian.

"Kes bermotifkan cemburu berikutan suspek mendakwa dia berbuat kerana mengesyaki isterinya mempunyai hubungan sulit. Ujian saringan air kencing dilakukan mendapati suspek positif methamphetamine.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan turut mendapati suspek mempunyai enam rekod lampau dan dia kini ditahan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh," katanya.