Kecuaian punca banjir kilat di Pulau Pinang

Lim Siew Khim
Lim Siew Khim
A
A
A

GEORGETOWN- Projek penaiktarafan parit bawah tanah di Solok Perak dan Jalan Tengku, Jelutong telah menyebabkan beberapa kejadian banjir di kawasan sekitar tersebut sejak ia mula dijalankan.

ADUN Sungai Pinang (DAP), Lim Siew Khim berkata, cadangan kerja menaik taraf Sungai Jelutong dengan lencongan bawah tanah di sepanjang Jalan Tengku itu telah memberi kesan buruk kepada penduduk sekitar Jalan Tengku, Solok Van Praagh, Jalan Sir Ibrahim dan Jalan Van Praagh.

Menurutnya, insiden banjir pada malam 30 Januari lalu amat memberi kesan kepada penduduk di kawasan tersebut.

"Dalam kejadian itu, air kotor dari longkang setinggi 0.76 meter masuk rumah dalam masa tidak sampai 20 minit lepas hujan turun. Penduduk di Kampung Pokok Asam dan Kampung Bukit Dumbar mengalami kerugian besar apabila harta benda mereka musnah. Tambahan pula ia berlaku lima hari sebelum Tahun Baharu Cina.

"Penduduk beria-ria membuat persiapan, sofa, tilam baharu dan lain-lain, semuanya rosak akibat banjir dari air longkang yang kotor. Lebih teruk, ada penduduk yang dimasukkan ke hospital akibat jangkitan penyakit.

"Oleh itu, saya ingin tegaskan bahawa kecuaian jabatan atau konsultan tertentu yang mengakibatkan banjir sebanyak tujuh kali banjir perlu dipandang serius. Ini bukan 'balasan Tuhan' tetapi jelas ia disebabkan oleh kecuaian manusia," katanya.

Siew Khim berkata demikian ketika membahaskan ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri di Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Sidang DUN Pulau Pinang tadi.

Beliau berkata, kecewa dengan bencana tersebut, penduduk mula mempersoalkan nilai akauntabiliti yang diamalkan kerajaan negeri selama ini.

Artikel Berkaitan:

"Kecuaian manusia ini telah mengakibatkan lebih 100 rumah terjejas. Bukan sekali tapi tujuh kali. Saya selaku wakil rakyat, perlu berdepan dan menjawab setiap soalan penduduk. Malah ada yang marah dan maki. Saya perlu menyuarakan isi hati saya kali ini untuk kebaikan penduduk.

"Mangsa bertanya tentang nilai akauntabiliti. Siapa yang bertanggungjawab dan akan membayar pampasan terhadap kerugian mereka? Ramai yang berpendapat bahawa amalan akauntabiliti tidak wujud dalam projek menaik taraf ini.

"Saya bersama ADUN Batu Lancang mengalami masalah yang sama. Kami sama-sama turun padang dan bertemu mangsa banjir. Siapa yang tidak marah jika rumah mereka dilanda banjir berkali-kali. Saya berharap pihak yang berkuasa dan bertanggungjawab mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

Siew Khim berkata, beliau berharap kerajaan negeri akan lebih prihatin terhadap penduduk yang kerap dilanda banjir.