17 pusat penjagaan ibu bersalin tiada lesen di Pulau Pinang

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

GEORGETOWN - Terdapat 17 buah pusat penjagaan ibu bersalin dan bayi tidak berlesen termasuk 15 di kawasan pulau di Pulau Pinang.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, hanya sembilan buah pusat penjagaan tersebut mempunyai lesen dan terletak di kawasan Seberang Perai.

"Kerajaan negeri melalui Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sedang mempertimbangkan pusat penjagaan ibu bersalin dan bayi menggunapakai garis panduan pengawalan tukar guna bangunan kediaman kepada tadika, taska, pusat jagaan kanak-kanak, pusat jagaan ibu bersalin dan bayi serta pusat jagaan orang tua di kawasan MBPP.

"Garis panduan tersebut diterima pakai MBPP sejak 26 November 2015 (pindaan terkini 28 Jun 2018). Bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) pula menggunapakai garis panduan pusat penjagaan ibu bersalin dan bayi," katanya.

Jagdeep (DAP-Datuk Keramat) berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Lim Siew Khim (DAP-Sungai Pinang) berhubung bilangan pusat penjagaan ibu bersalin dan bayi berlesen di negeri ini.

Menurutnyanya, sehingga kini, Kerajaan Pulau Pinang belum mempunyai sebarang peruntukkan undang-undang yang mewajibkan latihan tertentu kepada pengusaha pusat penjagaan tersebut.

"Bagaimanapun, melalui PBT, kerajaan negeri ada mengambil beberapa tindakan dalam kawalan keselamatan pusat penjagaan tersebut antaranya mendapat pengesahan daripada jabatan teknikal seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat sebelum Permohonan Kebenaran Merancang dikemukakan.

"Selain itu, PBT juga mengambil tindakan pengeluaran Notis Mengkehendaki Perniagaan Dihentikan dan tindakan pengeluaran kompaun terhadap pusat penjagaan yang tidak berlesen. Tindakan undang-undang di mahkamah terhadap pemilik pusat penjagaan mengikut Undang-undang Kecil Bayaran Lesen kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen juga akan dikenakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Siew Khim terkejut dengan jawapan bertulis berkenaan bahawa tiada pusat penjagaan ibu bersalin dan bayi di bawah MBPP yang mempunyai lesen.

"Menurutnya, perkhidmatan pusat penjagaan ibu bersalin dan bayi sudah lama wujud dan menjadi satu keperluan serta trend untuk keluarga yang memerlukan perkhidmatan menjaga ibu bersalin dan bayi baru lahir.

"Kerajaan negeri sehingga kini masih belum mempunyai sebarang peruntukan undang-undang yang mewajibkan kursus tertentu kepada pengusaha pusat penjagaan ini. Saya rasa perkara ini perlu diambil serius dan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan perlu mengambil langkah lebih produktif untuk membantu pengusaha ini.

"Usaha ini akan membolehkan kesihatan dan keselamatan ibu dan bayi lebih terjamin selain perusahaan dan aktiviti pusat penjagaan lebih terkawal dan teratur," katanya.