Bakal bapa dijel setahun kerana mencuri RM100

Tertuduh, Awang Embong, 35, dihukum penjara setahun oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini kerana mengaku salah mencuri wang RM100 milik seorang peniaga pasar minggu Pekan Manir, di sini.
A
A

KUALA TERENGGANU- Seorang lelaki yang bakal bergelar bapa dihukum penjara setahun oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini kerana mencuri wang RM100 milik peniaga pasar minggu Pekan Manir, di sini.

Tertuduh, Awang Embong, 35, dijatuhi hukuman berkenaan selepas mengaku salah atas pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa mencuri RM100 milik Shahadan Muda, 52, di pasar minggu Pekan Manir, di sini, jam 9.40 pagi, pada 27 April lalu.

Kesalahan tersebut memperuntukkan hukuman penjara selama tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanin Ayim di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.

Mahkamah mengarahkan hukuman penjara bermula tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 27 April lalu.

Terdahulu, tertuduh merayu agar mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan isterinya sedang sarat mengandung dan menunggu masa kelahiran anak sulung mereka.

Tertuduh turut memberi alasan terpaksa melakukan perbuatan itu kerana tidak bekerja selain berjanji tidak akan melakukannya lagi.