Malaysia Baharu: Rakyat bukan mahu perubahan 'tempel-tempelan'

Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali
A
A
A

MELAKA- Dalam era Malaysia Baharu rakyat bukan mahukan kerajaan membuat perubahan bersifat 'tempel-tempelan', sebaliknya rakyat mahukan perubahan yang memberi kesan substantif terhadap kehidupan mereka.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata rakyat tidak mahu sebuah kerajaan yang riuh berbicara tentang penjenamaan semula tetapi langsung tidak memberi apa kesan kepada mereka.

"Malaysia Baharu yang dimahukan rakyat adalah Malaysia yang mendayakan rakyat. Perubahan daripada kerajaan yang memperbodohkan rakyat kepada kerajaan yang peka dan bukan pekak kepada keperluan rakyat. Aspirasi rakyat kita penuhi dan sayangi rakyat.

"Kita mesti jadi kerajaan peka kepada isu rakyat seperti kos sara hidup dan sebagainya, rajin bekerja demi rakyat dan negara," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan ucaptama bertajuk "Pembangunan Harapan Rakyat: Mekanisme Malaysia Baharu atau Satu Penjenamaan Semula" pada Seminar Melaka Berwibawa di Bandar Hilir di sini hari ini.

Seminar dua hari bermula semalam dirasmikan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari hari ini dan turut hadir Timbalan Menteri Industri Utama Datuk Seri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, barisan Exco kerajaan negeri dan lebih 400 peserta.

Mohamed Azmin berkata kejayaan terbesar PH dalam menuju setahun pada 9 Mei ini adalah membina sebuah kerajaan demokratik yang bersih dan meruntuhkan kerajaan kleptokrasi sebelum ini.

"Jika tiada kesungguhan ini, negara akan runtuh. Ketirisan akan sebabkan wang rakyat itu hilang dan rakyat akan menerima kesannya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada ucapan itu juga beliau turut mengumumkan peruntukan pembangunan berjumlah RM660 juta bagi negeri Melaka tahun ini bagi melaksana 116 projek untuk kesejahteraan rakyat antaranya projek tebatan banjir, jaringan jalan raya dan keperluan kesihatan.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita beliau berkata semua pihak harus menghormati kerajaan PH yang dibentuk atas sokongan rakyat dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai tanggungjawab mempertahankan kepimpinan dan kerajaan yang dibentuk itu.

"Saya seru semua pihak supaya tidak 'undermind' kepimpinan Tun Dr Mahathir kerana beliau dipilih oleh rakyat dan sedang menumpukan sepenuh tenaga untuk membangunkan ekonomi dan negara.

"Beliau hanya mahu mempertahankan prinsip 'rule of law', semua pihak harus menghormati prinsip undang-undang," katanya ketika menjawab pertanyaan pemberita mengenai isu pertikaman lidah antara pihak di Istana Johor dan Dr Mahathir. - Bernama