Pendakwaan mohon bicara kes 1MDB ditunda, selesai SRC dahulu

Najib Razak
Najib Razak
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak pendakwaan dalam kes Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa atas tujuh tuduhan berhubung SRC International berjumlah RM42 juta, hari ini memohon supaya perbicaraan kes dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu ditunda bagi membolehkan kes SRC diselesaikan terlebih dahulu.

Pendakwa Raya selaku pemohon memfailkan notis usul bagi memohon perintah supaya perbicaraan kes 1MDB ditunda sementara menunggu perbicaraan kes SRC diselesaikan di Mahkamah Tinggi dengan menamakan Najib selaku responden.

Menerusi notis usul itu yang difailkan hari ini, Pendakwa Raya turut memohon perintah atau arahan lanjut daripada mahkamah yang difikirkan wajar berhubung perkara itu.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan dalam afidavit yang diikrarkan bersama notis usul itu berkata perbicaraan kes SRC bermula 3 April lepas sehingga 10 Mei ini di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan sehingga kini, pihak pendakwaan telah memanggil 21 saksi pendakwaan.

Beliau berkata, perbicaraan kes 1MDB pula dijadualkan bermula pada 14 Mei ini manakala tarikh lain yang ditetapkan ialah 15 dan 17 Mei; 28, 29 dan 31 Mei; 10, 11, 12, 13 dan 14 Jun; serta 18, 20 dan 21 Jun.

Muhammad Izzat berkata, semalam pihak pendakwaan memaklumkan bahawa mereka akan menulis surat kepada Hakim Collin Lawrence Sequerah yang akan mendengar perbicaraan kes 1MDB itu bagi memohon supaya perbicaraan kes itu ditunda, yang mana tiada bantahan daripada pihak pembelaan.

"Hakim Mohd Nazlan juga memaklumkan beliau tiada bantahan untuk meneruskan perbicaraan kes SRC pada tarikh yang dijadualkan untuk perbicaraan kes 1MDB dengan syarat Hakim Sequerah menunda perbicaraan kes berkenaan," katanya dalam afidavit.

Muhammad Izzat berkata, pihaknya telah mengarahkan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib untuk menulis surat kepada Hakim Sequerah bagi memohon satu tarikh sebutan hari ini, pukul 9.00 pagi supaya mereka hadir bagi memohon perbicaraan kes 1MDB ditunda.

Artikel Berkaitan:

Beliau bagaimanapun berkata, selepas surat itu dihantar semalam pihak mahkamah (Hakim Sequerah) kemudiannya membalas surat itu dan memaklumkan bahawa penangguhan perbicaraan kes 1MDB ditolak.

Muhammad Izzat berkata, demi kepentingan semua pihak termasuk saksi yang disapina untuk menghadiri perbicaraan kes SRC, kes membabitkan bekas Perdana Menteri itu perlu diselesaikan secepat mungkin.

"Permohonan ini juga tidak akan memprejudiskan tertuduh dalam kes ini, " katanya.

Muhammad Izzat turut memfailkan perakuan segera supaya notis usul itu didengar sebelum tarikh perbicaraan kes 1MDB pada 14 Mei ini kerana kes berkenaan juga adalah kes kepentingan awam.

Najib menghadapi 25 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion. - Bernama