34 majikan gagal daftar pekerja dikompaun

Tunku Shahrain (tengah) menyerahkan penghargaan kepada Kok Lim (kanan) pada majlis perasmian Program Perasmian Seranta Perkeso Taiping 2019 di sebuah hotel di Taiping hari ini.
Tunku Shahrain (tengah) menyerahkan penghargaan kepada Kok Lim (kanan) pada majlis perasmian Program Perasmian Seranta Perkeso Taiping 2019 di sebuah hotel di Taiping hari ini.
A
A
A

TAIPING - Seramai 34 majikan dikompaun Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) cawangan Taiping kerana tidak mendaftarkan pekerja di bawah pertubuhan itu.

Perbuatan mereka dikesan menerusi Operasi Pengesanan Majikan (Op Kesan) 2019 dijalankan di sekitar daerah Larut, Matang dan Selama(LMS) serta Kerian meskipun satu proses pemutihan dilaksanakan Perkeso sepanjang bulan Mac lalu.

Pengurus Perkeso Taiping, Tunku Shahrain Tunku Salehan berkata, operasi itu diadakan selepas tempoh pemutihan dengan membuka peluang kepada majikan layak dan masih belum berdaftar berbuat demikian secara sukarela Mac lalu.

Menurutnya, sepanjang proses pemutihan dilaksanakan, pihaknya sudah mengedarkan 6,444 risalah Perkeso kepada majikan di seluruh daerah LMS dan Kerian.

“Sepanjang operasi dijalankan sejak Januari tahun ini, 313 majikan dilawati dan 279 daripadanya mematuhi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 serta Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017.

“Daripada jumlah itu 34 majikan dikompaun setelah menyalahi Seksyen 4 Gagal Daftar Perusahaan dan Seksyen 5 Gagal Daftar Perusahaan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

"Pada masa sama, terdapat 18 majikan didakwa atas kesalahan Seksyen 110 akta sama gagal mematuhi saman jabatan, bagaimanapun 17 kompaun telah dibayar majikan terlibat," katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Program Seranta Perkeso Taiping 2019 di sini hari ini.

Majlis dirasmikan Ahli Parlimen Taiping, Teh Kok Lim.

Artikel Berkaitan:

Tunku Shahrain berkata, terdapat 14,575 majikan yang aktif berdaftar dengan Perkeso Taiping dan daripada jumlah itu, pihaknya mengesan masih ramai majikan tidak patuh berdaftar dengan Perkeso.

Bagaimanapun, beliau menegaskan inisiatif mengedarkan risalah Perkeso kepada majikan sepanjang proses pemutihan membantu peningkatan kesedaran majikan mendaftarkan pekerja mereka dengan Perkeso sebanyak 3.6 peratus sepanjang bulan Mac sahaja.

"Antara alasan diberikan majikan kepada Perkeso adalah kurang arif mengenai fungsi dan kelebihan mencarum dengan kami di samping kesulitan menyiapkan dokumentasi pendaftaran pekerja terutama dalam kalangan premis niaga kurang daripada tiga pekerja.

"Majikan harus menyedari keperluan mendaftarkan pekerja, bahkan ahli keluarga yang bekerja dengan mereka dengan Perkeso adalah satu kewajipan demi menjamin masa hadapan mereka sekiranya berlaku kemalangan di tempat kerja.

"Keperluan mencarumkan pekerja dengan Perkeso bukan sahaja libatkan pekerja status tetap, malah diwajibkan ke atas status sementara dan kontrak. Sekiranya pekerja sendiri enggan daftar Perkeso, kesalahan tetap ditanggung majikan,"katanya.

Dalam perkembangan lain, Tunku Shahrain menegaskan sejumlah RM8.1 juta nilai pampasan bagi pelbagai bentuk faedah dibayar Perkeso Taiping kepada waris keluarga yang mengalami kemalangan dan kematian dalam perjalanan pergi balik atau di tempat kerja pada tahun 2018.

"Bagi tahun ini sehingga bulan Mac 2019 sahaja, sejumlah pampasan bagi pelbagai faedah bernilai RM2.4 juta dibayar Perkeso membabitkan 922 kes.

"Trend peningkatan kemalangan perjalanan pergi balik dan di tempat kerja di negara ini sewajarnya menyedarkan majikan terhadap kepentingan mencarum pekerja dengan Perkeso demi kepentingan masa hadapan pekerja mereka,"katanya.