Mahkamah Tinggi benar Ahmad Hafizam dipanggil semula

Kamaruzaman (kiri) bersama barisan peguam keluarga Muhammad Adib hadir pada prosiding di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.
Kamaruzaman (kiri) bersama barisan peguam keluarga Muhammad Adib hadir pada prosiding di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan semakan permohonan Pegawai Pengendali Inkues untuk memanggil semula saksi ke-24 (SI 24) Inkues Kematian Muhammad Adib Mohd Kassim iaitu Pakar Bedah Forensik HKL, Dr Ahmad Hafizam Hasmi.

Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman membuat keputusan itu sekali gus mengenepikan keputusan Mahkamah Koroner yang sebelum ini menolak permohonan pegawai pengendali.

Dalam keputusannya, Ab Karim mendapati terdapat kekhilafan koroner dengan mengambil kira titik-titik tidak berakhir.

"Saksi ke-29 (Profesor Dr Shahrom Abd Wahid) mempunyai kelebihan dan saksi ke-24 ketinggalan dari segi fakta dan ia perlu diperjelaskan kerana terdapat perkembangan baharu," katanya.

Terdahulu, Pegawai Pengendali Inkues, Hamdan Hamzah berhujah SI 24 perlu diberi peluang berhubung hasil dapatan daripada SI 29.

"Terdapat keterangan SI 29 seolah-olah beliau yang menjalankan bedah siasat.

"Bagaimana beliau boleh membuat dapatan pakar sebegitu sedangkan dia tidak membuat pemeriksaan terhadap mangsa," katanya.

Sementara itu, peguam, Syazlin Mansor yang bertindak mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang membantah permohonan pegawai pengendali berhujah, kesemua pihak telah diberikan peluang.

Artikel Berkaitan:

"Tiada fakta baharu ditemui dan kedua-dua pakar mempunyai pendapat masing-masing serta telah ditanya oleh pihak berkepentingan tentang semuanya termasuk kecederaan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah tolak permohonan panggil semua dua saksi pakar

ARTIKEL BERKAITAN: Inkues Adib: Pegawai Pengendali mohon Hafizam dipanggil semula

Pada 22 April lalu, Koroner, Rafiah Mohamad menolak permohonan pegawai pengendali tersebut atas alasan saksi- saksi pakar sudah dipanggil dan diberi peluang membentangkan keterangan mereka berkenaan pemeriksaan klinikal dan bedah siasat terhadap mangsa, rekonstruksi, dapatan penemuan serta laporan pakar di mahkamah.

Sementara itu, peguam keluarga Muhammad Adib, Kamaruzaman Wahab ketika ditemui berkata pihaknya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.