Pulau Pinang ambil serius isu lambang salib

Jagdeep Singh Deo
A
A

GEORGETOWN- Kerajaan Pulau Pinang ambil serius mengenai isu lambang salib di bangunan pangsapuri Grace Residence di Jelutong yang hangat diperkatakan sebelum ini.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, kerajaan negeri hanya mengetahui isu tersebut setelah ia tular di media sosial.

Menurutnya, setelah mengetahui perkara tersebut, kerajaan negeri telah mengarahkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk mendapatkan maklum balas berkenaan lampu berbentuk lambang salib tersebut dari arkitek perunding.

"Kerajaan Pulau Pinang hanya menyedari tentang perkara ini selepas berita mengenainya tersebar luas di media sosial. Sehubungan itu, kerajaan negeri telah meminta MBPP supaya mendapatkan maklum balas berkenaan lampu berbentuk lambang salib di bangunan Grace Residence di Jelutong dari pihak arkitek perunding.

"Bagaimanapun, kita memandang serius isu ini dan tidak dinafikan, isu ini memang membangkitkan rasa tidak senang dalam kalangan rakyat. Ia menyentuh sensitiviti agama dan kita sedang berusaha untuk menyelesaikannya," katanya tadi.

Jagdeep yang juga ADUN Datuk Keramat (DAP) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Penaga (Pas), Mohd Yusni Mat Piah mengenai lampu berbentuk lambang salib yang besar dan terang di bangunan pangsapuri tersebut.

Jagdeep berkata, berdasarkan maklum balas yang diterima daripada arkitek perunding pada 14 Januari lalu, perkara tersebut adalah satu kebetulan dan tidak disengajakan.

"Kerajaan negeri telah mengarahkan MBPP mengadakan perbincangan dengan arkitek perunding dan mengemukakan cadangan penyelesaian secara menyeluruh mengenai isu lambang salib tersebut.

"Pihak arkitek perunding kini dalam proses untuk mengemukakan cadangan kepada pihak MBPP," katanya.

Sementara itu, dalam soalan tambahannya, Mohd Yusni mencadangkan agar pelan pembangunan dirujuk kepada Majlis Syura Kerajaan Pulau Pinang terlebih dahulu untuk dinilai sebelum diluluskan.

"Saya berpuas hati dengan jawapan Yang Berhormat bahawa perunding arkitek bangunan tersebut terlepas pandang. Apa sahaja jawapan perunding arkitek boleh diterima namun kita bimbang ada niat tersirat oleh pemaju.

"Oleh itu, untuk mengelak perkara sama berlaku di tempat lain dan di masa depan, saya harap kerajaan negeri akan lebih peka selain merujuk pelan pembangunan dirujuk kepada Majlis Syura Kerajaan Pulau Pinang untuk dinilai," katanya.

Jagdeep bagaimanapun menyatakan bahawa cadangan itu akan dijawab oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Pengerusi Majlis Syura Kerajaan Pulau Pinang.

Januari lalu, tular di media sosial mengenai sebuah kediaman kategori pangsapuri di Jelutong yang memaparkan lambang salib dengan menggunakan lampu.

Ia jelas kelihatan terutamanya pada waktu malam selepas kesemua lampu itu dipasang.

Perkara itu menyebabkan beberapa masyarakat setempat serta penduduk berdekatan tidak berpuas hati dan telah membuat laporan polis berhubung lambang tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN Isu tanda salib, ini pesan Mufti Pulau Pinang...


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia