X

Kindly register in order to view this article
!

Hospis - masih ada yang sayang

A
A

MUNGKIN tidak ramai yang mengetahui akan kewujudan persatuan Hospis yang ditubuhkan untuk membantu penghidap penyakit kronik seperti kanser, AIDS, dan kegagalan fungsi organ yang tiada harapan untuk sembuh dan memerlukan perhatian keluarga serta masyarakat.

Perkhidmatan yang diberikan pihak Hospis adalah percuma. Hospis Malaysia ditubuhkan pada tahun 1991 manakala Persatuan Hospis Kelantan yang beralamat di Hospital Raja Perempuan Zainab ll, Kota Bharu pula diwujudkan pada tahun 1997.

Sebenarnya, istilah yang lebih lunak dan sesuai untuk mereka yang menghidap penyakit kritikal ialah pesakit yang agak sukar untuk sembuh.

Kita tidak seharusnya berputus asa dan putus harapan terhadap rahmat dan kekuasaan ALLAH SWT yang Maha Berkuasa lagi Maha Pemberi Rahmat. Segalanya mungkin jika Dia berkehendakkan sedemikian.

Ramai orang sakit yang telah sembuh dan meneruskan kehidupan seperti biasa walau ada kalanya mereka sendiri tidak tahu atau tidak pasti bagaimana mereka boleh sembuh. Sekali lagi, tiada yang mustahil dengan izin ALLAH.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Wahai hamba ALLAH, berubatlah, sesungguhnya ALLAH tidak menjadikan sesuatu penyakit kecuali dijadikan penawar/ubat baginya, kecuali satu sahaja! Sahabat bertanya: Apakah ia ya Rasulullah? Baginda bersabda: Penyakit tua.” (Hadis riwayat At-Tirmizi)

Presiden Persatuan Hospis Kelantan yang merupakan Pakar Bedah Endokrin dan Payudara, Datuk Dr Imi Sairi Ab Hadi, sangat mengambil berat akan kebajikan pesakit-pesakit beliau.

Baru-baru ini, melalui Persatuan Hospis Kelantan, beliau telah menganjurkan majlis Makan Amal Kaseh Hospis 2019 di Hotel Perdana dengan kerjasama Yayasan Kaseh Kanser dan Kronik OKB dan Persatuan Pengurusan Luka Negeri Kelantan dengan tujuan mengumpul dana.

Sesungguhnya sukar untuk menggambarkan beban yang dihadapi oleh pesakit kanser dan ahli keluarga. Tekanan wujud dalam pelbagai aspek seperti kewangan, sokongan moral, kaunseling dan sebagainya.

Dana yang terkumpul daripada majlis ini juga akan digunakan untuk membiayai sebahagian kos rawatan perubatan dan juga tambang perjalanan pesakit untuk menghadiri sesi rawatan.

Ada pesakit daripada kalangan mereka yang miskin tegar dan memerlukan sumbangan barangan dan peralatan sokongan seperti chemo port, susu khas, kerusi roda, tilam, lampin pakai buang serta makanan kesihatan.

Ada juga yang sudah agak tenat dan tidak mampu ke hospital, mereka ini memerlukan khidmat lawatan ke rumah bagi mendapatkan rawatan susulan atau bantuan kewangan, sokongan moral serta kaunseling.

Bagi pihak Hospis, lawatan ke rumah pesakit kanser yang tenat atau berada pada tahap akhir dibuat hampir setiap hari. Antara bantuan yang diberikan semasa sesi lawatan ke rumah ialah dressing, penukaran tiub saluran kencing serta tiub pemakanan ryle’s.

Paling penting dan bermakna bagi mereka yang berada pada tahap akhir ini ialah sesi kaunseling yang bukan sahaja bermanfaat kepada pesakit bahkan seluruh isi keluarga.

Pengalaman berjumpa dengan pesakit-pesakit kanser dan mendengar cerita serta penderitaan yang mereka lalui sememangnya begitu menginsafkan.

Kita patut sangat bersyukur atas nikmat kesihatan dan tubuh badan yang sempurna kurniaan ALLAH yang dipinjamkan sementara waktu. Semuanya boleh hilang dalam sekelip mata jika itu yang ALLAH tentukan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Dua nikmat yang ALLAH kurniakan, ramai orang yang kerugian (tidak menggunakannya) dengan sebaik mungkin: Kesihatan dan kelapangan.” (Hadis riwayat Bukhari)

Syabas sekali lagi kepada Dr Imi yang bersungguh-sungguh mencari dana bagi membantu pesakit-pesakit tenat ini. Begitu juga kepada Pengerusi dan Pengasas Yayasan Kaseh Kanser dan Kronik OKB, Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad dan Pengerusi Persatuan Pengurusan Luka Negeri Kelantan, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir, yang turut sama bertungkus-lumus mencari dana demi memastikan keselesaan pesakit-pesakit tenat ini.

Semoga lebih banyak pihak atau NGO yang dapat sama-sama menjalankan kerja amal ini demi membantu pesakit-pesakit tenat. Mereka perlu tahu bahawa sesungguhnya masih ada yang sayang.

*Johari Yap ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!