Peka gesa kerajaan campur tangan

Awal pagi semalam (Isnin), kira-kira jam 6.30 pagi sekatan (blokade) Orang Asli Kampung Tasik Cunex, Gerik Perak telah dirobohkan oleh pembalak dan 10 buah lori syarikat pembalakan telah masuk ke kawasan pembalakan.
Awal pagi semalam (Isnin), kira-kira jam 6.30 pagi sekatan (blokade) Orang Asli Kampung Tasik Cunex, Gerik Perak telah dirobohkan oleh pembalak dan 10 buah lori syarikat pembalakan telah masuk ke kawasan pembalakan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Persekutuan didesak untuk campur tangan dalam kes pencerobohan pembalak di tanah adat orang asli di Kampung Tasik Asal Cunex, Gerik agar peristiwa seperti di Gua Musang, Kelantan tidak berulang.

Presiden Pertubuhan Perlindungan Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Seri Shariffa Sabrina Syed Akil mengutuk sekeras-kerasnya ketegangan yang berlaku di Kampung Tasik Asal Cunex semalam selepas pembalak bertindak merobohkan sekatan yang dibina orang asli.

Beliau menyifatkan, kejadian yang berlaku di situ sebagai perilaku buli yang dilakukan oleh pembalak terhadap orang asli.

“Saya memohon kerajaan Persekutuan campur tangan dalam perkara ini seperti mana yang telah dilakukan dalam kes di Gua Musang.

“Perkara ini penting bagi mendukung amanat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang disampaikan pada Konvensyen Orang Asli Kebangsaan baru-baru ini bahawa setiap gerak kerja dan usaha pembangunan yang sedang dilaksana perlu sejajar dengan Pendekatan Berasaskan Hak Asasi Manusia.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya kejadian yang berlaku di Kampung Tasik Asal Cunex, semalam.

"Perkara ini seumpama perilaku buli yang dilakukan oleh para pembalak terhadap penduduk orang asli tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Shariffa Sabrina menegaskan, kerajaan Perak bertanggungjawab untuk memastikan bahawa kawasan tersebut dijadikan rizab orang asli menurut Perlembagaan Persekutuan dan juga Akta Orang Asli 1954.

Artikel Berkaitan:

“Orang asli di kawasan tersebut mendakwa bahawa kawasan itu merupakan tanah adat mereka yang telah diwariskan oleh nenek moyang mereka mengikut adat mereka sebagai suku Temiar.

“Tanah adat ialah kawasan bercucuk tanam serta memburu tradisional. Masyarakat orang asli adalah penjaga hutan yang sangat bertanggungjawab dan hutan ibarat pasar raya dan farmasi buat mereka,” ujarnya.

Awal pagi semalam sekatan orang asli Kampung Tasik Cunex, Gerik Perak telah dirobohkan oleh pembalak dan 10 buah lori syarikat yang memasuki kawasan pembalakan.

Pada jam 11 pagi, orang asli bertindak mendirikan semula sekatan dan membuat benteng manusia bagi menghalang sebuah lori yang sarat muatan balak melepasi kawasan tanah adat mereka.

Sekatan itu telah mencetuskan situasi tegang antara pemandu lori dan kumpulan orang asli.