Kuih banjar satukan 220 waris

Waris wanita keluarga tiga beradik dari tiga negeri bangga mempamerkan hasil pembuatan kuih tradisional masyarakat Banjar seperti balungan hayam, wadai kiping, kalakatar dan cucur banjar.
Waris wanita keluarga tiga beradik dari tiga negeri bangga mempamerkan hasil pembuatan kuih tradisional masyarakat Banjar seperti balungan hayam, wadai kiping, kalakatar dan cucur banjar.
A
A
A

TAIPING - Keenakan kuih banjar dan aktiviti permainan tradisional kampung berjaya menyatukan 220 waris keluarga tiga beradik dari tiga negeri dalam satu program jalinan kasih kali ke-7 dipanggil 'tahagaan kulaan' di Hotel Seri Malaysia di sini, semalam.

Koordinator program, Kolonel (B) Abdul Hadi Samsuddin berkata, jawatankuasa penganjuran majlis alumni keluarga tiga beradik membabitkan Allahyarham Sanin dari Selangor, Jalaluddin (Perak) dan Tok Arshad (Penang) memilih negeri Perak sebagai tuan rumah selepas Selangor bagi mengeratkan silaturahim antara ahli keluarga pelbagai generasi.

"Daripada keseluruhan ahli keluarga melibatkan generasi tiga beradik tersebut seramai 500 orang, pihaknya bersyukur sambutan kehadiran 220 waris dari generasi keempat hingga keenam masih memberangsangkan dan meriah.

"Bagi program jalinan kasih kali ini, kami menganjurkan pertandingan khas membuat kuih tradisional Banjar antara 13 wakil keluarga utama bagi membolehkan waris keluarga dapat mengenali kuih tradisi masyarakat itu yang terkemuka seperti balungan hayam, wadai kiping dan kalakatar di samping mempelajari kaedah menghasilkan kuih tersebut," katanya.

Menurutnya, selain itu, amalan masyarakat tradisional Banjar yang berkait rapat dengan keturunan mereka seperti membuat gubahan bunga menggunakan bahan terbuang turut diperkenalkan dalam majlis itu.

No Image Caption

"Paling penting, program jalinan kasih dianjurkan secara tahunan membolehkan kesemua waris keluarga hadir saling mengenali dan mengeratkan hubungan silaturahim sedia ada," katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Sementara itu, Ibrahim berkata, program jalinan kasih waris keluarga tiga beradik itu bertujuan memastikan hubungan silaturahim terjalin berpanjangan dan tidak terputus dalam kalangan generasi muda.

Artikel Berkaitan:

"Saya sendiri terharu ada kalangan ahli keluarga yang datang dari lokasi sangat jauh seperti Felda Padang Piol, Pahang dan ada di antaranya berkeadaan uzur namun masih sanggup hadir menjayakan program keluarga sebegini.

"Insya-ALLAH tradisi penganjuran program di negeri berlainan pada setiap tahun akan diteruskan dan kita berharap lebih banyak aktiviti kebudayaan dan kekeluargaan berasaskan tradisi masyarakat Banjar dapat dianjurkan untuk memupuk hubungan erat sesama kami," katanya.

Menurutnya, pihaknya berharap majlis jalinan kasih sebegini dapat dianjurkan sendiri oleh generasi keluarga lebih muda demi kelangsungan hubungan keluarga teguh.