Pelajar kolej vokasional layak sambung pengajian di TATIUC

Anuar (tengah) bersama enam wakil kolej vokasional memeterai persefahaman dengan Kolej Universiti TATI (TATIUC).
Anuar (tengah) bersama enam wakil kolej vokasional memeterai persefahaman dengan Kolej Universiti TATI (TATIUC).
A
A
A

KEMAMAN - Pelajar lepasan diploma vokasional kini berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda di Kolej Universiti TATI (TATIUC) hasil pemeteraian persefahaman antara kolej universiti milik kerajaan negeri itu dengan enam kolej vokasional di negara ini.

Rektor TATIUC, Dr Anuar Ahmad berkata, menerusi persefahaman itu, TATIUC juga menawarkan kepakaran dalam memberi khidmat teknikal dalam bidang berkaitan dan pembangunan silibus.

Katanya, kolej vokasional tersebut adalah Kolej Vokasional Besut, Dungun, Kemaman, Kuantan, Temerloh dan Setapak.

"TATIUC berharap kerjasama ini mampu memantapkan lagi usaha institusi ini dalam melahirkan modal insan berkemahiran seterusnya memacu pendidikan berasaskan Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas selesai majlis menandatangani persefahaman itu yang berlangsung di Dewan Al-Jazari TATIUC.

Sebelum itu, delegasi enam kolej vokasional itu yang terdiri daripada 20 kakitangan turut dibawa melawat makmal-makmal dan fasiliti pengajaran dan pembelajaran di TATIUC.

TATIUC menawarkan pengajian peringkat asasi, diploma, ijazah sarjana muda dan sarjana dalam bidang pembuatan, elektrikal, instrumentasi, kimia, polimer, komputer, pengurusan teknologi dan rekabentuk grafik.

TATIUC juga ketika ini sedang membuka permohonan untuk kemasukan pelajar baharu hingga 11 Mei depan dan mereka yang berminat layak menikmati Biasiswa Terengganu Sejahtera.

Artikel Berkaitan: