Pemandu maut 4x4 dirempuh treler

Anggota bomba ketika mengeluarkan mangsa tersepit di bahagian hadapan.
Anggota bomba ketika mengeluarkan mangsa tersepit di bahagian hadapan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki maut manakala penumpang wanita dan bayi lelaki berusia satu tahun cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 21 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan, petang tadi.

Dalam kejadian jam 4.50 petang itu, kenderaan pacuan empat roda dinaiki kesemua mangsa remuk akibat pertembungan dengan sebuah lori treler.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Pegawai Bomba Kanan II, Abd Malim Abd Rahman berkata, kemalangan dipercayai berlaku selepas lori treler menghala ke utara itu hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan.

Menurutnya, seramai enam anggota dengan sebuah jentera terlibat dalam kerja-kerja menyelamat di lokasi kejadian.

“Kemalangan melibatkan sebuah lori treler yang terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah kereta lain.

“Mangsa (pemandu) pacuan empat roda tersepit dan anggota bomba mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Abd Malim berkata, mangsa yang cedera kemudiannya dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Kulai menaiki ambulans.

"Kerja-kerja menyelamat mengambil masa kira-kira dua jam sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.40 petang," katanya.

Artikel Berkaitan: