Kedah mahu lahirkan ramai atlet berpendidikan tinggi

Mohd Asmirul (empat dari kanan) turut melawat pameran pada Simposium Kejurulatihan dan Pengurusan Sukan 2019.
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah berharap mampu melahirkan 20 hingga 30 peratus atlet dari negeri ini yang mampu menggenggam ijazah hasil kolaborasi yang sedang dirangka bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Exco Belia dan Sukan Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, kerjasama ini mampu membuka peluang kepada atlet untuk belajar di peringkat lebih tinggi dan pada waktu yang sama pihak universiti juga dapat bekerjasama dengan badan-badan sukan tertinggi di Malaysia.

"Sekarang kita sedang meminta universiti untuk merangka dengan MSN di peringkat nasional untuk membincangkan secara terperinci dan teknikal dari sudut silibusnya. Buat permulaan kita beri perhatian kepada atlet di negeri Kedah dahulu.

"Dulu kita pernah cuba melakukan perkara yang sama tetapi tidak berjaya dan kali ini saya akan melihat sendiri usaha ini dan meletakkan sasaran untuk cuba lahirkan sekurang-kurangnya 20 hingga 30 peratus atlet yang belajar di universiti dan memperoleh ijazah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Perasmian Simposium Kejurulatihan dan Pengurusan Sukan 2019 dan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman di antara UUM, MSN dan Majlis Sukan Negeri Kedah di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail; Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UUM, Prof Dr Yusnidah Ibrahim dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UUM, Prof Madya Dr Hendrik Lamsali.

Dalam pada itu, simposium yang kali pertama dianjurkan pihaknya itu akan dijadikan sebagai acara tahunan ataupun dwi tahunan bagi membincangkan hala tuju dan perkembangan semasa sukan terutamanya di Kedah.

Menurutnya, simposium itu juga diharapkan mampu membuka minda pengurusan setiap pasukan di negeri untuk mengikuti sistem dan cara baru seperti di peringkat Asia dan juga Olimpik.

"Cara pengurusan dan kejurulatihan baru ini kita mahu ke Kedah dan kembangkan. Perlu bermula di peringkat bawah seperti Sukan Kedah Darul Aman (Sukda) sehinggalah ke peringkat tertinggi seperti Olimpik.