Dua kanak-kanak 10 tahun reka lintasan pejalan kaki 3D

Lintasan pejalan kaki 3D yang diilhamkan oleh dua kanak-kanak berusia 10 tahun dari Massachusetts. - Foto WBZ
Lintasan pejalan kaki 3D yang diilhamkan oleh dua kanak-kanak berusia 10 tahun dari Massachusetts. - Foto WBZ
A
A
A

MASSACHUSETTS - AMERIKA SYARIKAT. Dua kanak-kanak berusia 10 tahun dari Massachusetts berharap dapat menyelamatkan nyawa dengan rekaan lintasan pejalan kaki tiga dimensi (3D) yang direka bagi menarik perhatian pemandu kenderaan.

Rekaan lintasan pejalan kaki yang diilhamkan oleh Isa, seorang pelajar gred empat di Sekolah Rendah Brooks di Medford dengan bantuan rakan baiknya Eric, menampakkan seolah-olah garisan putih laluan lintasan pejalan kaki, kelihatan timbul.

Menurut Isa, idea untuk menghasilkan lintasan pejalan kaki 3D di kawasan sekolah mereka itu tercetus setelah adik Eric nyaris dilanggar oleh sebuah kereta.

Kedua-dua pelajar terbabit mengemukakan idea mereka ke Pusat Kewarganegaraan dan Tanggungjawab Sosial, sebuah organisasi anak muda dan seorang artis tempatan bernama Nate Swain diupah untuk menjadikan idea kanak-kanak tersebut satu kenyataan.

"Saya sukakannya, ia nampak hebat sekali dan sama seperti yang saya bayangkan.

"Bila anda berjalan di lintasan tersebut, anda tahu ianya dilukis namun buat pemandu kenderaan ia kelihatan seakan timbul," kata Isa.

Dalam pada itu, bandar Medford kini bercadang untuk membuat lintasan pejalan kaki seumpama itu di tiga lagi sekolah rendah di kawasan terbabit. - Agensi

Artikel Berkaitan: