Benarkan Huawei bina rangkaian 5G, Britain diminta hati-hati

Rangkaian telekomunikasi 5G tawar pemindahan data pantas. - Gambar Hiasan
Rangkaian telekomunikasi 5G tawar pemindahan data pantas. - Gambar Hiasan
A
A
A

LONDON - BRITAIN.Setiausaha Luar Britain, Jeremy Hunt menggesa kerajaan membuat pertimbangan sewajarnya sebelum membuka peluang kepada syarikat telekomunikasi Huawei untuk terlibat dalam pembangunan rangkaian 5G di negara itu.

Kenyataan tersebut dibuat selepas Perdana Menteri Theresa May dilapor membuat keputusan ketika mesyuarat Majlis Keselamatan Britain untuk memberi kebenaran bersyarat kepada syarikat dari China itu membina rangkaian telekomunikasi 5G.

“Terdapat kes seperti pada tahun 2017 di mana undang-undang China mewajibkan semua syarikat negara itu, tanpa mengira pemilikan untuk bekerjasama dengan perkhidmatan risikan, oleh itu kita perlu berhati-hati membuat keputusan,” kata Hunt.

Sementara itu, Duta China ke United Kingdom, Liu Xiaoming berkata, isu keselamatan adalah sesuatu yang perlu difikirkan, namun beliau meminta Britain untuk membuat keputusan berdasarkan keperluan negara.

Menurut Xiaoming, rangkaian 5G merupakan generasi baharu dalam teknologi telekomunikasi dan ia masih memerlukan penambahbaikan.

“Risiko perlu dipandang serius namun ia boleh diuruskan dengan syarat negara serta syarikat terlibat bekerjasama,” kata Xiaoming.

Terdahulu, Huawei berdepan sekatan pasaran Barat terutama Amerika Syarikat ekoran kebimbangan Beijing menjalankan risikan bagi mendapat akses kepada infrastruktur kritikal.

Huawei merupakan pengeluar utama peralatan rangkaian mobil 5G dengan pemindahan data pantas yang bakal menjadi tunjang utama ekonomi Eropah terutama dalam sektor tenaga, pengangkutan dan perbankan. - AFP

Artikel Berkaitan: