Kegigihan kakak bakar semangat untuk bersekolah

Baharudin (kanan) ketika menyampaikan sumbangan di rumah Nurfarahin (kiri) di Kampung Orang Asli Redang Punggor.
Baharudin (kanan) ketika menyampaikan sumbangan di rumah Nurfarahin (kiri) di Kampung Orang Asli Redang Punggor.
A
A
A

TELUK INTAN - Melihat kegigihan kakak sulungnya berkorban menyara keluarga menjadi pembakar semangat buat Nurfarahin Hamzah, 14, untuk meneruskan persekolahannya walaupun hidup serba kekurangan.

Malah anak kelima daripada enam beradik ini, berasa bersyukur mempunyai kakak yang bertanggungjawab menyara mereka sekeluarga selepas bapanya tidak bekerja atas masalah kesihatan.

Nurfarahin antara 117 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaaan (SMK) Sultan Abdullah yang menerima sumbangan daripada Pertubuhan Sentuhan Kasih Al Qalam Malaysia bagi pelajar asnaf.

Menurut Nurfarahin dia berterima kasih atas sumbangan wang tunai dan juga beras yang disampaikan oleh Pengasas dan Presiden Pertubuhan Sentuhan Kasih Al-Qalam Malaysia, Datuk Seri Baharudin Abu, di kediamannya di Kampung Orang Asli Redang Punggor, Chenderong Balai di sini, baru-baru ini.

"Kami bukanlah keluarga senang jadi saya perlu habiskan persekolahan dan penuhi cita-cita untuk menjadi cikgu supaya dapat bantu keluarga kami keluar dari kesusahan hidup," katanya kepada Sinar Harian.

Baharudin (enam berdiri hadapan) bergambar bersama pelajar dan ibu bapa yang menerima sumbangan daripadanya.
Baharudin (enam berdiri hadapan) bergambar bersama pelajar dan ibu bapa yang menerima sumbangan daripadanya.

Sementara itu, Baharudin berkata, Program Sentuhan Kasih di SMK Sultan Abdullah adalah program kesembilan bagi tahun ini sejak Januari lalu dan seramai 2,700 pelajar asnaf sudah dibantu.

“Kita bermula di Puchong, Selangor sebanyak dua lokasi diikuti Perak empat lokasi iaitu Sungai Petani, Kedah, Pulau Pinang dan Melaka masing-masing satu lokasi. Semua penerima ini menerima sumbangan daripada pesakit yang sembuh selepas menerima rawatan dengan Pertubuhan Sentuhan Kasih Al Qalam Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Misalnya bagi sumbangan di SMK Sultan Abdullah Chenderong Balai, ia disumbangkan oleh salah seorang pesakit bernama Samsiah dari Kelantan yang mempunyai masalah tiroid di perut sepanjang 14 sentimeter," katanya.

Menurutnya, penyakitnya pesakitnya sembuh dengan izin ALLAH SWT dan kemudian menginfakkan RM15,000 kepada golongan asnaf menerusi Pertubuhan Sentuhan Kasih Al-Qalam Malaysia.

"Kesemua pesakit yang menerima rawatan sudah dimaklumkan 70 peratus hasil sumbangan dan kos rawatan mereka akan digunakan untuk membantu golongan yang memerlukan," katanya.

Dalam pada itu, Baharudin berkata, SMK Sultan Abdullah dipilih sebagai salah satu lokasi programnya kerana pernah bersekolah di situ selain berhampiran dengan kampung halamannya.

"Saya juga mendapat kerjasama daripada pihak sekolah dan PIBG yang memaklumkan masih ada keluarga pelajar dengan pendapatan RM200 hingga 500 sebulan dan mereka amat memerlukan bantuan.

"Saya tahu kawasan ini memang masih ramai yang hidup miskin dan kebanyakan penduduknya bekerja kampung dengan pendapatan yang tidak banyak kerana itu kami memilih sekolah ini untuk membantu pelajarnya supaya dapat memberikan sedikit sumbangan untuk kegunaan mereka dan keluarga," katanya.