Status agama dalam kad pengenalan perlu kekal: Khairy

Khairy Jamaluddin. - FOTO ROSLI TALIB
Khairy Jamaluddin. - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin bersetuju dengan pendirian Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengekalkan status agama dalam kad pengenalan.

Beliau berkata perkara itu tidak sepatutnya dijadikan isu kerana meletakkan status agama pada kad pengenalan bukan satu bentuk diskriminasi dan menghalang perpaduan.

"Meletakkan status agama dalam kad pengenalan itu pada asasnya lebih bertujuan praktikal termasuk memudahkan pengebumian apabila kita tahu seseorang itu adalah Islam.

"Ada pandangan bahawa letak status Islam pada kad pengenalan itu seperti diskriminasi, sedangkan ia sebenarnya tidak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Bicara Minda Bersama Ahli Parlimen Rembau anjuran Sinar Harian di sini, hari ini.

Khairy berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Muhyiddin semalam yang akan mengekalkan status agama dalam kad pengenalan seperti proses pendaftaran sedia ada.

Sebelum ini, seorang senator daripada DAP, Nga Hock Cheh mengemukakan cadangan dalam Dewan Negara supaya kerajaan menggugurkan status kaum dalam kad pengenalan.

Hock Cheh berkata, meletakkan status agama pada kad pengenalan antara sebab yang menghalang perpaduan dalam negara kerana setiap individu diberikan identiti mengikut kaum dan bukan identiti nasional. – Bernama

Artikel Berkaitan: