Jokowi bakal pertahan jawatan

Jokowi (tengah) bersama pasangan regunya, Ma'ruf Amin dilaporkan mendahului keputusan berdasarkan 50 peratus kiraan undi.
Jokowi (tengah) bersama pasangan regunya, Ma'ruf Amin dilaporkan mendahului keputusan berdasarkan 50 peratus kiraan undi.
A
A
A

JAKARTA - INDONESIA. Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi berada pada landasan untuk mengekalkan jawatannya apabila mendahului dengan kira-kira 12 mata peratusan, sekali gus mengesahkan keputusan kiraan cepat dibuat hampir 12 pusat kaji selidik swasta sebelum ini.

Keputusan rasmi berdasarkan kiraan 50 peratus kertas undi dalam Pemilihan Umum 2019 (Pemilu 2019) hari ini menunjukkan Jokowi memperoleh 56.2 peratus undi berbanding pencabarnya, Prabowo Subianto yang meraih 43.8 peratus undi.

Pengesahan keputusan itu dijangka memberi tamparan hebat kepada Prabowo yang mengumumkan kemenangannya berdasarkan kiraan cepat sebelum ini.

Bekas jeneral ketika era pemerintahan Suharto itu turut mendakwa berlaku penyelewengan undi dalam proses tersebut.

Jokowi bagaimanapun menolak tuduhan tidak berasas itu dan menggesa para penyokongnya supaya bersabar serta menunggu sehingga kiraan undi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) itu selesai dan diumumkan pada 22 Mei depan.

Indonesia mengadakan Pemilihan Presiden (Pilpres) dan Pemilu Legislatif serentak dengan lebih 245,000 calon untuk merebut 20,000 jawatan.

Lebih 80 peratus daripada 193 juta pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada 17 April lalu.

Pemilu pada kali ini turut digemparkan dengan lebih 300 kakitangan dan anggota polis meninggal dunia akibat keletihan melampau.

Artikel Berkaitan:

Data KPU menunjukkan Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), Golkar dan Parti Gerindra pimpinan Prabowo mendahului keputusan untuk menguasai kerusi di Dewan Perwakilan Rakyat (DPR).

Rancang rombak Kabinet

Jokowi sedang mempertimbangkan untuk merombak Kabinet sebelum beliau mengangkat sumpah jawatan penggal baharu selama lima tahun pada Oktober depan.

Kenyataan itu dibuat ketika wawancara bersama akhbar Tempo.

Dalam wawancara itu, Jokowi memberi isyarat beliau tidak akan memilih ahli teknokrat iaitu pakar dalam teknikal yang mahir dalam bidang teknologi dan mempunyai kuasa politik.

"Dalam parti politik, terdapat ramai anggota profesional," katanya. Spekulasi tentang rombakan Kabinet telah hangat diperkatakan dalam kalangan ahli politik sebelum Pemilu berlangsung. Ketika penggal pertama pemerintahannya, Jokowi telah merombak Kabinet beberapa kali termasuk melantik Sri Mulyani yang dilantik sebagai Pengarah Pengurusan Bank Dunia. Kabinet beliau kini adalah campuran ahli teknokrat dan ahli politik daripada gabungan parti pemerintah.

Dalam perkembangan lain, pemimpin tersebut dikatakan telah membuat keputusan untuk memindahkan ibu negara.

"Jokowi mahu memindahkan Jakarta. Ia adalah keputusan yang sangat penting," kata Menteri Perancangan, Bambang Brodjonegoro yang menjelaskan lokasi baharu ibu negara itu bagaimanapun belum diputuskan.

Jelasnya, pemindahan ibu negara itu mungkin akan mengambil masa sehingga 10 tahun. - Agensi