Serbuan berjadual pasar borong lebih realistik, praktikal

Saifuddin mengagihkan pek makanan kepada pelajar golongan B40 pada pelancaran Food Bank Siswa Malaysia di UniSZA.
Saifuddin mengagihkan pek makanan kepada pelajar golongan B40 pada pelancaran Food Bank Siswa Malaysia di UniSZA.
A
A
A

KUALA NERUS - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan membuat serbuan secara berterusan di pasar borong bagi mengekang lambakan peniaga warga asing.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan penguatkuasaan itu adalah langkah paling realistik dan praktikal memandangkan pihaknya kekurangan anggota.

"Untuk cadangan letak anggota KPDNHEP di pasar borong misalnya, kita ada 2,294 anggota. Bolehkah kita letak terus 24 jam, 30 hari, 365 hari untuk jaga satu pasar borong sedangkan pada masa sama sempadan negara bolos dengan isu penyeludupan, barangan tiruan masih berlaku, lambakan yang perlu diambil tindakan.

"Jadi saya fikir tindakan yang lebih praktikal untuk banteras perkara ini ialah melakukan serbuan secara berjadual melibatkan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pihak berkuasa tempatan, polis dan Jabatan Imigresen," katanya

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Food Bank Siswa Malaysia di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini, hari ini.

Menurutnya setakat ini beberapa serbuan dibuat bagi mengatasi masalah berkenaan dan ia mula menunjukkan hasil apabila jumlahnya dilaporkan semakin berkurangan.

"Memang serbuan ada dibuat, rampasan ada, tangkapan ada, denda pun ada, namun tindakan ini tidak boleh terhenti setakat itu sahaja. Ia perlu sentiasa dibuat secara bersepadu melibatkan penguat kuasa beberapa agensi yang bertanggungjawab.

"Jadi saya fikir ini (serbuan) adalah tindakan yang lebih praktikal dan kerajaan sentiasa berusaha membanteras kehadiran mereka yang memberi impak dari segi harga kepada peringkat akhir iaitu pengguna," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, satu jawatankuasa khas dianggotai Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Dalam Negeri, KPDNHEP serta Kementerian Wilayah Persekutuan dibentuk pada 1 April lalu bagi menangani isu peniaga warga asing di pasar borong Selayang.