Ditahan ketika leka bertaruh lumba kuda

Che Zaimani
Che Zaimani
A
A
A

GEORGETOWN - Tiga lelaki ditahan ketika leka dengan aktiviti judi perlumbaan kuda secara haram di Jalan Patani di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, ketiga-tiga lelaki tersebut ditahan dalam serbuan berasingan di tiga premis oleh anggota Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap, Maksiat (D7) Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Timur Laut.

"Tiga premis berasingan diserbu bermula jam 4 petang hasil risikan anggota dan dalam operasi itu kita menahan tiga lelaki berusia 40 hingga 50 tahun dipercayai terlibat kegiatan pertaruhan haram.

"Kertas bertulis angka, keratan akhbar memaparkan jadual perlumbaan kuda, pen, kalkulator dan sejumlah wang tunai yang dijumpai ketika pemeriksaan turut dirampas," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, ketiga-tiga lelaki itu ditahan reman untuk disiasat di bawah Seksyen Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953.

"Kita turut menahan seorang lelaki dan wanita kerana disyaki menjalankan kegiatan judi loteri haram di dua serbuan di Jelutong dan Datuk Keramat.

"Kedua-duanya ditahan pada jam 1.25 petang semalam di dua premis. Ketika ditahan, polis turut merampas kertas bercetak angka, pencetak mudah alih, telefon bimbit dan sejumlah wang tunai.

Che Zaimani berkata, kedua-duanya ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Artikel Berkaitan:

"Semua tangkapan ini adalah dari kerjasama orang awam yang sentiasa memberi maklumat kepada polis.

"Saya berharap orang awam akan terus bekerjasama dengan polis dengan menyalurkan maklumat kepada kami. Maklumat boleh disalurkan di balai polis berhampiran atau hubungi polis talian 04-2181844," katanya.