'Wave Rock' daya tarikan baharu Kuala Pilah

Ramlan, 52, bergambar berlatarkan Batu Berombak atau 'Wave Rock' yang terletak di puncak Bukit Baginda, Batu Kikir, dekat sini. - Foto Bernama
Ramlan, 52, bergambar berlatarkan Batu Berombak atau 'Wave Rock' yang terletak di puncak Bukit Baginda, Batu Kikir, dekat sini. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA PILAH - Bukit Baginda di Kampung Majau dekat sini secara tiba-tiba menjadi popular ekoran memiliki Wave Rock atau Batu Berombak yang cukup unik, yang merupakan daya tarikan baharu di daerah ini.

Mula dibuka kepada umum sejak dua bulan lepas, ia memberi peluang kepada masyarakat luar untuk melihat sendiri keunikan batu berkenaan yang berbentuk bulat dengan sebahagian daripada batu berkenaan memilik tekstur beralun seperti ombak.

Wave Rock yang terletak di puncak Bukit Baginda, iaitu 13 kilometer dari pekan Batu Kikir dan memiliki ketinggian 450 meter, telah merekodkan kedatangan pengunjung seramai 1,000 orang sejak ia dibuka 6 Oktober lepas.

Anak jati kampung berkenaan Ramlan Ruspan, 52, berkata pendaki yang ingin melihat keunikan Wave Rock perlu mempunyai ketahanan mental dan fizikal yang baik.

“Batu ini jumpa dah lama dah tapi baru diviralkan oleh kawan saya Abdul Razak Hashim, 45. Setahu saya setakat ini Wave Rock ini tidak dijumpai lagi di mana-mana kawasan lain di negeri ini sebab batu ini pelik sikit, jalur dia senget. Ketinggian batu ini dianggarkan mencecah 20 meter,” katanya.

Ramlan yang merupakan guru pendidikan jasmani di Sekolah St Aidan, Bahau berkata sebaik sahaja dibuka, beliau dan rakan sekampung yang kerap kali mendaki Bukit Baginda menawarkan diri menjadi juru pandu arah kepada mana-mana kumpulan atau individu yang ingin menjelajah kawasan bukit berkenaan.

“Setakat ini mereka yang telah datang ke sini selepas ia tular adalah daripada Perancis, Jepun, United Kingdom, Vietnam dan Filipina. Dalam maklum balas, mereka amat teruja dan memuji kecantikan hutan Bukit Baginda dan juga Wave Rock,” katanya.

Selain Wave Rock, Bukit Baginda juga memiliki empat buah gua yang masih belum diterokai mana-mana pihak setakat ini, kata Ramlan.

“Hanya baru-baru ini sekumpulan pengkaji daripada Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor telah datang meninjau keadaan gua berkenaan,” katanya sambil menambah kawasan itu yang belum diteroka sepenuhnya perlulah diwarta sebagai kawasan pelancongan dan kawasan aktiviti penyelidikan khasnya penyelidikan dan pembangunan daripada kerajaan negeri.
Artikel Berkaitan:


Para pendaki yang berminat mendaki dan melihat sendiri Wave Rock akan dikenakan bayaran masuk sebanyak RM11 iaitu RM5 daripadanya adalah permit hutan yang dikeluarkan Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan.

“Permit wajib dibayar pada Sabtu dan Ahad kepada pegawai perhutanan yang berada di situ manakala Isnin hingga Jumaat, bayaran permit boleh dibayar di Pejabat Hutan Kuala Pilah. Bayaran RM6 untuk masuk ke Bukit Baginda dikutip oleh Majlis Pembangunan Komuniti Kampung (MPKK),” katanya.

Selain Wave Rock yang dianggarkan sebesar kira-kira 40m x 20m ukur lilitnya, daerah ini juga terkenal dengan 70 tapak batu megalit atau lebih dikenali sebagai 'Batu Hidup' daripada 300 tapak batu megalit di Negeri Sembilan. - Bernama