MED sedia bantu pengeluar sarang burung di peringkat global

Mohd Redzuan (tiga dari kiri) dan Huai Gen (dua dari kanan) melihat sarang burung walit yang belum diproses ketika lawatan ke kilang MyNest ​Group Malaysia.
A
A

PUCHONG - Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) bersedia membantu usahawan yang mahu mengeluarkan produk sarang burung walit untuk pasaran antarabangsa.

Menteri​nya​, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, usahawan akan dibantu dengan syarat perlu memahami rantaian ekosistem dalam pengeluaran sesuatu produk serta menjalani latihan ​tertentu.

​"Mereka perlu ​faham​ proses pengeluarannya ​termasuk ​apa yang pelanggan mahukan, perlu melalui latihan tertentu dan bekerjasama dengan agensi yang sudah berjaya bagi mendapatkan pengalaman serta ilmu termasuk cara untuk memasar dan menjenamakan produk ingin dihasilkan.

​"Jika usahawan kita memenuhi kesemua aspek ini, kementerian pasti​ ​​akan ​bantu yang selebihnya. Bawah kementerian saya, terdapat pelbagai agensi yang boleh menyediakan pembiayaan, latihan dan komersial inovasi​," katanya.

Mohd Redzuan (tengah) melihat proses produk sarang burung walit.
Mohd Redzuan (tengah) melihat proses produk sarang burung walit.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan Muzium ​​'Eco Culture' Sarang Burung Walit Mynest Malaysia di MyNest Biotech Sdn Bhd, Taman Perindustrian Pusat Bandar Puchong di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Mynest Group Malaysia Sdn Bhd, Datuk Chua Huai Gen dan Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datuk Dr Aini Ideris

Menurutnya, ​kerajaan tidak dapat ​membantu jika usahawan sendiri tidak mengambil pendekatan untuk menimba ilmu dan tidak berusaha untuk menerima latihan.

"Sekarang bukan masa untuk kita beri duit dan biarkan mereka lakukan apa yang mereka mahu tetapi kita nak tahu produk apa yang hendak dihasilkan atau mereka mampu buat," katanya. ​​ Sementara itu, Huai Gen berkata​, selain menjadi antara pengeluar sarang burung berkualiti negara, pihaknya turut menyediakan latihan kepada usahawan yang berminat untuk menjadi pengusaha sarang burung walit.

Mohd Redzuan (tengah) memotong reben sebagai simbolik perasmian pembukaan Muzium ​​'Eco Culture' Sarang Burung Walit Mynest Malaysia, hari ini.
Mohd Redzuan (tengah) memotong reben sebagai simbolik perasmian pembukaan Muzium ​​'Eco Culture' Sarang Burung Walit Mynest Malaysia, hari ini.

"Sudah dua tahun MyNest ​Group Malaysia​ menjadi pusat latihan dan berkongsi ilmu atau maklumat tentang sarang burung walit.

"Kita harap dengan cara ini dapat memberi lebih banyak peluang pekerjaan dan menarik lebih ramai orang untuk masuk ke industri ini untuk dikembang luaskan ke pasaran antarabangsa," katanya.

Terdahulu, pembukaan Muzium ​'Eco Culture' Sarang Burung Walit​ bertujuan memberi pendedahan kepada ​rakyat Malaysia dan pelancong ​untuk mempelajari lebih lanjut​ tentang proses menghasilkan sarang burung yang berkualiti.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia