KPDNHEP Sasar 20 UA sertai Food Bank Siswa

Saifuddin (tengah) bersama peserta Majlis Perdana Gerakan Pengguna Siswa sebelum melancarkan Program Food Bank Siswa Malaysia di UniSZA.
Saifuddin (tengah) bersama peserta Majlis Perdana Gerakan Pengguna Siswa sebelum melancarkan Program Food Bank Siswa Malaysia di UniSZA.
A
A
A

KUALA NERUS - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyasarkan 20 universiti awam (UA) menyertai program Food Bank Siswa Malaysia menjelang hujung tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, program itu diperluaskan ke UA adalah tindakan susulan daripada hasil Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) pada 15 Februari lalu.

Menurutnya, projek Food Bank Siswa itu dimulakan di Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan diikuti Universiti Teknologi Mara (UiTM), Permatang Pauh.

"Seterusnya di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai dan hari ini di Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Food Bank Siswa Malaysia di UniSZA di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniSZA, Profesor Madya Dr Mohd Afandi Salleh.

Saifuddin berkata, inisiatif itu mendapat sokongan dan kerjasama baik pentadbiran universiti akan digerakkan persatuan mahasiswa universiti masing-masing, akan diperluaskan ke 20 UA sebelum Disember ini.

"KPDNHEP juga membuka ruang seluas-luasnya kepada semua pihak untuk menjayakan program itu supaya sumbangan diterima mampu memberikan sinar baharu kepada mahasiswa di universiti.

Artikel Berkaitan:

"KPDNHEP percaya semangat kesukarelawanan tinggi dapat dibentuk menerusi program itu dan berharap inisiatif ini dapat diperluaskan ke Institusi Pengajian Tinggi Swasta, Kolej Universiti, Maktab Perguruan dan lain lain institusi," katanya.

Penyertaan itu, katanya, dapat membantu meringankan beban kos sara hidup dihadapi mahasiswa khususnya golongan B40.

Sementara itu, Saifuddin berkata, ketika ini 430 pasar raya sudah bersetuju untuk menjayakan program berkenaan dengan berperanan sebagai pembekal.

“Dengan komitmen 430 pasar raya ini, kita yakin rantaian bekalan makanan untuk program bantuan ini akan berterusan," katanya yang kemudiannya menyampaikan pek makanan kepada pelajar golongan B40 di UniSZA.

Terdapat 200 pelajar dikenalpasti terdiri daripada golongan B40 di UniSZA dan pelajar pelajar terbabit bakal mendapat manfaat susulan pelancaran program tersebut di universiti berkenaan.