Bekas pemandu Grab terlepas hukuman mati

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM- Kehadiran Ramadan beberapa hari akan datang seakan-akan memberi rahmat kepada bekas pemandu Grab apabila dia terlepas daripada hukuman mati mandatori.

Ia berikutan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini melepaskan dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar 1.15 kg ganja.

Muhammad Ammar Shah Md Yusoff yang memakai baju denim berada di kandang pesalah terus meluru keluar memeluk seorang wanita dipercayai ibunya di galeri awam.

Seluruh ahli keluarganya kelihatan menangis kegembiraan menyambut keputusan tersebut.

Terdahulu, Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pendakwaan.

Dalam keputusannya, beliau berkata, pihak pendakwaan gagal menentukan pemilikan dadah tersebut terhadap Muhammad Ammar, 26, serta kewujudan individu ketiga di dalam kereta Perodua Myvi.

"Pihak pendakwaan gagal dalam kes prima facie," katanya.

Muhammad Ammar didakwa mengedar ganja seberat 1152.42 gram di pakir sebuah restoran makanan segera di Seksyen 13, Shah Alam, jam 6.15 petang pada 27 Januari 2018.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Nazneen Zulkifli mengikut Seksyen 39B(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) Akta sama.

Muhammad Ammar diwakili peguam, Luqman Mazlan.

Seramai 10 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.