Polis akan panggil Lokman Adam

Mohamad Fuzi memeriksa perbarisan anggotanya ketika Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di Kuala Lumpur, hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Polis akan memanggil Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam susulan laporan yang diterima berhubung dakwaan penganjuran Sesi Teh Tarik 4 Putera Mahkota Bersama Rakyat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, siasatan sedang dijalankan dan pihaknya sedang mengkoordinasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (AKMM).

"Apabila siasatan ini dibuka, sudah tentu kita akan panggil dia (Lokman). Siasatan ini akan disiapkan secepat mungkin," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, di sini hari ini.

Kelmarin, Lokman berkongsi di laman sosial poster program tersebut yang dinyatakan akan diadakan di Mahkota Parade, Banda Hilir Melaka.

Poster itu memaparkan gambar tiga putera raja iaitu Tunku Ismail; Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin; Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Al-Sultan Abdullah dan gambaran seorang lagi putera raja yang dirahsiakan identitinya.

Bagaimanapun, selepas satu jam menghantar jemputan itu, Lokman memaklumkan majlis itu mungkin tidak akan menjadi kenyataan kerana mendakwa telah menerima beberapa panggilan telefon. Lokman turut menafikan program itu dirancang oleh pihaknya sebaliknya dirancang oleh salah seorang daripada anak raja terbabit.

Selain itu, Pejabat Raja Muda Selangor menafikan pembabitan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin dalam program tersebut. Malah, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah juga turut menafikan perkara itu.

Terdahulu, dalam majlis berkenaan, Mohamad Fuzi menyerahkan replika kunci IPD Brickfields sebagai gimik perasmian IPD baharu itu yang mempunyai keluasan 2.5 hektar dan siap pada tahun lepas dengan kos sebanyak RM40.6 juta.

Seramai 1,530 anggota dan pegawai di terdapat di daerah ini daripada tujuh balai polis di bawah IPD Brickfields ini yang memberikan perkhidmatan penguatkuasaan undang-undang kepada lebih 1.1juta penduduk.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia