Tuah ‘mengidam’ kereta hot wheels

A
A
A

ISTERI yang mengandung, si lelaki pula yang mengidam! Itu yang kerap terjadi dalam kalangan masyarakat kita. Bukan satu perkara pelik pun.

Namun, kes yang berlaku ke atas lelaki bernama Masrizal Mohamed Maslan atau mesra dipanggil Mas, 39, sungguh lucu sekali.

Masakan tidak, ketika isterinya hamil anak ke-2, Mas tiba-tiba teringin untuk memiliki koleksi kereta jenis hot wheels.

Mas bersama koleksi hot wheels yang dimilikinya
Mas bersama koleksi hot wheels yang dimilikinya

“Sebenarnya, semua yang berlaku mungkin secara kebetulan. Ketika itu saya rasakan, bila sudah dapat hot wheels, baru hati saya betul-betul lega.

“Kalau mahu ikutkan, sejak zaman kanak-kanak lagi, saya sudah biasa dengan mainan hot wheels ini. Ayah selalu belikan untuk saya. Namun, saya tidak berminat untuk mengumpulnya.

"Apabila dah bergelar bapa dan ketika isteri mengandung anak kedua pula, entah mengapa tiba-tiba sahaja saya ‘mengidam’ ingin membeli dan mengumpul mainan hot wheels ini,” imbau Mas yang mengenang cerita hampir 10 tahun lalu sambil ketawa besar.

Penangan ‘mengidam’ lelaki itu bukan calang-calang. Hasilnya, setakat ini, beliau berjaya memiliki 3,000 mainan kereta mini yang diidam-idamkannya.

Artikel Berkaitan:

Ujar Mas, sebelum ini, kalau mahu diikutkan, beliau mempunyai lebih kurang 5,000 hot wheels.

Namun, lelaki itu telah menjual sebahagian koleksinya apabila terdapat individu menawarkan harga yang memuaskan untuk membelinya.

Tuah

Bernilai sangatkah untuk menjual sebuah hot wheels? Mas hanya tersenyum sahaja mendengar soalan yang diajukan penulis.

“Mainan ini boleh mencecah harga RM1,000 di pasaran terutama bagi hot wheels edisi khas, ia memang mendapat permintaan tinggi daripada peminat tegarnya,” katanya.

Hasil bantuan rakan, Mas juga mempunyai kemahiran mengubahsuai kenderaan comel itu.

Mas mengambil upah mengubahsuai kenderaan hot wheels
Mas mengambil upah mengubahsuai kenderaan hot wheels

Cerita lelaki itu, pada mulanya, beliau hanya menukar kereta tayar plastik kepada tayar getah. Kemudian, mengubah suai stiker kereta dan sport rim. Lama-kelamaan, beliau mampu mengubah keseluruhan reka bentuk kenderaan.

Sebagai contoh, beliau telah melakukan inovasi ke atas hot wheels Subaru kepada bentuk kereta Proton Satria Neo, Satria Neo kepada Satria GTi, Mitsubishi Lancer Evolution III kepada Proton Wira, Honda Stream kepada Proton Wira, Subaru WRX kepada Proton Saga BLM dan banyak lagi.

“Koleksi yang ada hanya terhad kepada kereta tertentu. Ada kereta yang saya minat, tidak ada contohnya, kereta tempatan. Jadi, saya ambil keputusan untuk reka bentuk kereta tersebut. Kereta pertama yang saya ubah suai kepada kereta Satri Neo. Memang rasa puas hati,” katanya.

Setakat ini, beliau menyimpan 200 buah kereta yang telah diubah suai.

Mata pencarian

Jangan tidak percaya, kemahiran mengubah suai kereta hot wheels telah mendatangkan tuah kepada Mas.

Kepada Oh! Lelaki, Mas berkata, bakat itu kini telah menjadi sumber mata pencarian utamanya setelah berhenti kerja sebagai penghantar barang pada tahun 2012.

“Disebabkan masalah tertentu, saya terpaksa berhenti kerja. Namun, Allah SWT mempermudahkan urusan saya. Alhamdulillah, tanpa disangka-sangka, saya mendapat banyak tempahan dari seluruh Malaysia yang ingin menempah kereta hot wheels yang diubah suai.

Koleksi hot wheels Mas
Koleksi hot wheels Mas

Malah ada tempahan yang saya dapat dari negara Brunei. “Caj yang saya kenakan untuk sebuah kereta bermula dari RM100 hingga RM200 sahaja. Harga (caj) bergantung kepada kehendak pelanggan yang ingin menambah aksesori dan sebagainya,” jelas Mas.

Berdasarkan rekod, lelaki itu berupaya melakukan kerja-kerja pengubahsuaian untuk 10 buah kereta dalam tempoh sebulan.

Mas berkata, beliau bercita-cita untuk membuka sebuah kedai mainan hot wheels.

Mas bersama sebahagian koleksi hot wheels yang diubah suainya
Mas bersama sebahagian koleksi hot wheels yang diubah suainya

“Moga hasrat murni saya dimakbulkan, insya-ALLAH,” ujarnya.

ANEKDOT

NAMA PENUH: Masrizal Mohamed Maslan

UMUR: 39 Tahun

ASAL: Klang GRUP HOT WHEELS: Malaysia Hot Wheels Collector (MHWC)

PERTANDINGAN YANG PERNAH DISERTAI:

1. Custom Hot Wheels Juara - 2013.

2. HWCM Annual Dinner Custom Competition Johan - 2014 & 2015.

3. Art of Speed HWCM Custom Competition Naib Johan - 2015.

JURI UNTUK PERTANDINGAN: Malaysia Hot Wheels Collector - 2015-2017.

KOLEKSI HOT WHEELS: 57 Chevy, Pontiac Firebird, VW Beetle Cup, VW Beetle Bug, Subaru Impreza

PAMERAN YANG DISERTAI:

1.The Collectibles Johor Bharu - 2016

2. MITA Fair, Mine Conversation Centre - 2017

3. Retro Havoc BRT Sunway - 2018

4. Borneo Kustom Show Brunei - 2019

5. iAM KL Malaysia Autoshow, MAEPS Serdang - 2019