Suami terima padah pukul isteri

Tertuduh ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, tadi.
Tertuduh ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, tadi.
A
A
A
MELAKA TENGAH - Bahana memukul isteri, seorang operator kilang dipenjara setahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mencederakan isteri dengan kerusi plastik pada Mei lalu.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu selepas Mohd Faiz Idris,31, mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memukul isterinya, Siti Mariam Mohd Nor, 30, menggunakan kerusi plastik di bahagian kepala, tangan dan kaki mangsa di sebuah rumah di Taman Sejati Merlimau, Jasin pada 11.45 malam,12 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan-seksaan itu.

Berdasarkan fakta kes, sebelum kejadian, tertuduh telah memarahi anaknya kerana memanjat kerusi plastik tersebut untuk mengambil barang di atas almari, namun mangsa cuba menghalang tindakan suaminya itu.

Tertuduh yang berang kemudian mengambil kerusi plastik berkenaan dan memukul mangsa.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Wai Yi, memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun enggan membuat sebarang rayuan.

Elesabet kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama setahun terhadap tertuduh bermula hari ini.
Artikel Berkaitan: