Pastikan amil bertauliah

Wan Abdul Wahid (kanan) pada sidang media bayaran zakat fitrah dan bantuan kepada asnaf di pejabat Muip di sini.
Wan Abdul Wahid (kanan) pada sidang media bayaran zakat fitrah dan bantuan kepada asnaf di pejabat Muip di sini.
A
A
A

KUANTAN – Orang ramai dinasihatkan membuat pembayaran zakat kepada amil yang ditauliahkan Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) untuk melakukan kutipan zakat.

Timbalan Yang Dipertua Muip, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, tindakan tegas juga akan dikenakan terhadap individu yang didapati mengutip zakat fitrah tanpa diberi kuasa oleh Muip.

Menurutnya, individu yang didapati terlibat boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 38 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013.

“Kita pandang serius perkara ini, disebabkan itu pihak MUIP telah melantik seramai 954 amil bagi urusan kutipan zakat fitrah di negeri ini.

“Mereka (amil) akan berada di pejabat Pusat Kutipan Zakat (PKZ) negeri, masjid dan surau pada 1 Ramadan ini,” katanya pada sidang media bayaran zakat fitrah dan bantuan kepada asnaf di pejabat Muip di sini.

Menurutnya,selain itu, kemudahan pembayaran secara atas talian turut diperkenalkan, justeru umat Islam boleh membuat membayar zakat fitrah selepas bermulanya ibadat tersebut.

Katanya, kemudahan itu sebagai pilihan kepada masyarakat Islam yang tidak berpeluang untuk bertemu amil yang berada di surau dan masjid.

Dalam pada itu, beliau berkata sempena Ramadan kali ini Muip memperuntukkan sebanyak RM3.34 juta kepada 641masjid di negeri ini bagi mengimarahkan Ramadan dengan pelbagai aktiviti keagamaan.

Artikel Berkaitan:

“Ia juga sebagai persediaan menyambut Aidilfitri kita peruntukan sebanyak RM6.6 juta untuk diagihkan kepada mualaf dan fakir miskin saudara Muslim, " katanya.