X

Kindly register in order to view this article
!

Jangan berada di kawasan lapang ketika ribut

Mohd Nazlan
A
A

SEGAMAT - Orang ramai dinasihatkan agar tidak berada di kawasan lapang ketika ribut.

Ketua Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Segamat, Kapten (PA) Mohd Nazlan Ruslan berkata, cuaca hujan lebat disusuli dengan angin dan petir kebelakangan ini membahayakan sesiapa sahaja.

Katanya, mereka yang berada di kawasan lapang berisiko dipanah petir dan oleh demikian, persediaan harus dilakukan sekiranya melihat keadaan cuaca mula berubah pada sebelah petang.

“Cuaca di daerah ini kini sukar diramal terutama pada sebelah petang kerana tiba-tiba sahaja berlaku hujan disertai ribut petir. Berdasarkan laporan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, perubahan cuaca bertukar sekelip mata dari panas terik kepada hujan dan ribut petir.

"Ini membahayakan orang ramai khususnya penternak haiwan di padang ragut termasuk mereka yang kerap melakukan pelbagai aktiviti riadah bersukan. Kumpulan ini dinasihatkan agar mengambil langkah berjaga-jaga kerana kawasan terbuka amat berisiko terkena panahan petir,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Mohd Nazlan, berlindung di bawah pokok dan pondok terbuka ketika ribut turut mengundang risiko terkena panahan petir.

“Sebaiknya, mereka dinasihatkan segera memasuki kediaman atau bangunan tertutup ketika menyedari ribut petir bakal berlaku. Mungkin ramai yang beranggapan petir hanya akan berlaku ketika hujan lebat namun kebanyakan kes mangsa disambar petir berlaku sebelum hujan lebat atau ketika hujan renyai.

"Selain itu, ibu bapa juga harus memantau anak-anak mereka selain elakkan bermain layang-layang yang mana lebih membahayakan jika berlaku petir," katanya.

Katanya, pihak awam turut dinasihati agar menjauhi kabel aliran elektrik yang terjatuh di dalam lopak air kerana berkemungkinan terdapat arus elektrik voltan tinggi.

"Elakkan juga mendapat perlindungan di bawah pokok kelapa ketika angin bertiup kencang. Walaupun tiada lagi kes dipanah petir bagi tahun ini di Segamat, namun kecuaian boleh mengundang musibah,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!