Bazar Ramadan hilang ‘seri’

Bazar Ramadan di Jalan TAR akan dirindui ramai selepas ini. (Gambar kecil: Profesor Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin)
Bazar Ramadan di Jalan TAR akan dirindui ramai selepas ini. (Gambar kecil: Profesor Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin)
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar ekonomi berpandangan tradisi dan kemeriahan bazar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di Kuala Lumpur yang sinonim dengan orang Melayu terutama sempena perayaan Aidilfitri mungkin sedikit terhakis.

Profesor Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin berkata, ia susulan perubahan lokasi bazar Ramadan Jalan TAR yang selama ini sinonim dengan orang Melayu yang dipindahkan ke Jalan Raja.

“Jalan TAR menjadi seperti tradisi orang Melayu berbuka puasa serta membeli-belah setiap kali Ramadan.

“Bila tukar tempat atau lokasi baharu, semua akan berubah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Amir Hussin memberikan gambaran situasi Jalan TAR ibarat sekiranya pusat pentadbiran Putrajaya berpindah ke Kuala Lumpur pastinya keadaan dan persekitaran berbeza sama sekali.

Pada masa sama katanya, keserasian dengan lokasi baharu pasti memberikan kesan kepada peniaga dan pelanggan sekali gus menjurus kepada kemungkinan risiko perniagaan merundum.

“Pengunjung biasa beli-belah di situ serta di gedung-gedung perniagaan berhampiran Jalan TAR, Bila bazar Jalan TAR pindah, mungkin ada pengunjung tak serasi dengan tempat baharu itu. Keserasian dan keselesaan itu sudah hilang,” jelasnya.

Bagaimanapun, bagi pakar ekonomi, Profesor Dr. Barjoyai Bardai, perpindahan lokasi Jalan TAR mungkin tidak memberi kesan ketara kerana orang Islam berbelanja lebih di bazar Ramadan untuk bagi persiapan lebaran.

Artikel Berkaitan:

“Kuasa beli rakyat Malaysia khasnya orang Melayu makin bertambah setiap tahun. Kumpulan orang muda Melayu pula walaupun pendapatan masih dalam lingkungan RM3,000 tetapi golongan ini telah berbelanja lebih daripada kemampuan hidup.

“Perbelanjaan ini disokong melalui kad kredit dan pinjaman. Ini bukan sesuatu yang positif tetapi realitinya kuasa beli orang Melayu sudah meningkat,” katanya.

Dari segi lokasi perniagaan bazar Ramadan, adakalanya pemindahan sesebuah tempat perniagaan mampu memberi impak positif dan lebih berdaya maju.

“Contohnya pemindahan uptown di Damansara Utama dan Uptown Bangi yang dipindahkan ke kawasan berhampiran Kajang," katanya.