‘Proses dakwa Najib tak semudah kes saya’

Anwar berucap pada Majlis Makan Malam Amal anjuran PKR Cabang Kuala Langat di Dewan Gan Yan Sun, SJKC Jenjarom, malam tadi.
Anwar berucap pada Majlis Makan Malam Amal anjuran PKR Cabang Kuala Langat di Dewan Gan Yan Sun, SJKC Jenjarom, malam tadi.
A
A
A

KUALA LANGAT – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan proses pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kes salah laku bukanlah semudah yang dilakukan kerajaan BN berhubung kes rasuah dan liwat yang melibatkan dirinya sebelum ini.

Anwar berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini menjunjung kedaulatan undang-undang, jadi disebabkan itu pendakwaan terhadap Najib memakan masa.

“Nak dakwa bekas Perdana Menteri bukan mudah, bukan macam dakwa saya dulu.. tap..tap..tap.. sumbat. Sebab kita janji akan ikut kedaulatan undang-undang.

“Kita (PH) janji tak mahu mempengaruhi hakim, lagipun lokap saya di Penjara Sungai Buloh kosong lagi, kita janji tolak rasuah oleh itu, proses pendakwaan ini mesti adil.

“Mahkamah akan ikut semua undang-undang dan fakta, janji (nak tahan) memang senang, nak laksana susah. Inilah yang kita lakukan dan tak ada pilihan lain, tak boleh ambil jalan singkat,” katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam Amal anjuran PKR Cabang Kuala Langat, di sini, malam tadi. Hadir sama Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar dan pimpinan PKR Selangor.

Ahli Parlimen Port Dickson itu menambah, PH tidak akan sesekali mengikut atau mewarisi amalan kerajaan BN sebelum ini yang menahan sesiapa yang melawan kerajaan.

“Dulu lawan kita (kerajaan) tangkap masuk penjara, itu dulu... sistem BN,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, sekarang giliran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membetulkan kesalahan kerajaan lalu bersandarkan pengalaman dan ketegasan yang ada pada dirinya.

Artikel Berkaitan:

“Kita patut bersyukur kerana yang menggantikan Najib ialah Tun Mahathir yang luas pengalaman. Beliau tahu jaga dan kawal kapal baru yang sedang bergelombang.

“Bagi saya, saya sokong kapal ini stabil (steady) sahaja, saya ambil alih dalam keadaan stabil.. lebih mudah begitu, jadi sebab itu PKR beri sokongan kepada Tun Mahathir,” katanya.

Anwar pertama kali ditangkap dan didakwa membabitkan kes rasuah dan liwat pada 1998 sebelum beliau dijatuhkan hukuman 15 tahun penjara bagi kedua-dua kes pada 1999.

Beliau dibebaskan pada 2004 selepas Mahkamah Persekutuan mengubah sabitan dan mengetepikan hukuman penjara terhadapnya, namun sekali didakwa membabitkan pertuduhan liwat pada 2008.