Statut Rom, raja dan kerajaan

A
A

KERAJAAN kelihatan tidak dapat menerima hakikat diminta oleh Majlis Raja-Raja Melayu agar menarik semula ratifikasi Statut Rom yang telah dibuat secara senyap dan tanpa perundingan awam yang mencukupi.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang akhbar mengumumkan keputusan penarikan diri daripada Statut Rom, menyindir dan menampakkan perasaan amarah beliau terhadap keputusan Majlis Raja-Raja Melayu.

Pada sidang akhbar tersebut Dr Mahathir menyatakan, “So I’d like to say to these cowards who during the last regime saw (ex-Prime Minister Datuk Seri) Najib (Razak) stealing money and doing all kind of things and they said nothing. A lot of cowards who want to benefit from Najib’s misadministration so that they too can benefit.”

Siapakah golongan pengecut yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri mendiamkan diri ketika isu 1MDB? Dakwaan Dr Mahathir itu bertujuan mislead rakyat seolah-olah Raja-Raja Melayu menyokong pentadbiran lalu dan menentang pentadbiran hari ini.

Apakah ini adalah kemuncak rentetan smear campaign terhadap institusi beraja yang tampak telah bermula sejak pentadbiran baharu mengambil alih kerajaan? Ramai masih ingat tulisan oleh penasihat media Perdana Menteri tahun lalu yang mendedahkan perbelanjaan Yang di-Pertuan Agong sehingga mewujudkan perbahasan tidak sihat dalam kalangan rakyat.

Sebenarnya adalah tidak betul Raja-Raja Melayu tidak berbuat apa-apa dalam isu 1MDB. Pada tahun 2015 Majlis Raja-Raja Melayu telah menitahkan Ketua Pesuruhjaya, timbalan dan pegawai kanan SPRM, menyembahkan taklimat berkaitan isu syarikat itu pada 2015.

Selepas taklimat tersebut, Majlis Raja-Raja Melayu dengan jelas mengeluarkan titah rasmi agar kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan 1MDB selain mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak terbabit.

Ini telah dilaporkan secara meluas oleh media ketika itu. Maka seperti Statut Rom, Majlis Raja-Raja Melayu telah membuat titah dan arahan mengenai isu 1MDB setakat mana kuasa perlembagaan yang ada kepada mereka.

Dr Mahathir turut menyatakan bahawa Kabinet membuat keputusan menarik diri daripada Statut Rom kerana tindakan seorang individu yang telah mengelirukan rakyat dan mahu dirinya di atas undang-undang.

Raja-Raja Melayu yang membuat keputusan termasuklah Duli Yang Maha Mulia Sultan Dr Nazrin Muizzuddin Shah yang mempunyai pendidikan tinggi dalam pentadbiran awam dan falsafah politik dunia. Mustahil mereka boleh dipengaruhi oleh seorang individu.

Isu sebenar apabila kita menentang tindakan meratifikasi Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) bukanlah kerana kita mahu melakukan jenayah atau melindungi penjenayah.

Sebaliknya tindakan kerajaan meratifikasi statut ini tanpa mendapat pandangan Majlis Raja-Raja Melayu dan rakyat adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

Kerajaan melakukan satu keputusan penting tanpa mengambil kira pandangan pihak berkepentingan dan pemegang amanah negara seperti Majlis Raja-Raja Melayu dan Parlimen.

Ini kerana meratifikasi Statut Rom bermakna anda membenarkan para penyiasat asing bertindak melepasi batas perundangan negara.

Statut Rom merupakan satu deklarasi yang membenarkan ICC menyiasat sebarang aduan mengenai empat jenayah utama dalam statut iaitu jenayah perang, jenayah pencerobohan, jenayah kemanusiaan dan jenayah pembunuhan beramai-ramai.

Katakanlah esok ada rakyat Malaysia yang jahil membuat aduan mengenai jenayah kemanusiaan terhadap Sultan Kelantan yang membenarkan pelaksanaan hudud. Apakah anda boleh jamin ICC akan bertindak secara adil?

Kerajaan tidak wajar mengelirukan rakyat seolah-olah tindakan tidak menyertai Statut Rom bermakna kita mahu menjadi penjenayah atau melindungi jenayah. Banyak negara di dunia ini tidak menyertai Statut Rom termasuklah Singapura, Indonesia, Brunei, Thailand, Amerika Syarikat dan terbaru, Rusia turut menarik diri. Apakah negara-negara itu berhasrat melakukan jenayah atau melindungi penjenayah?

Menyertai Statut Rom bermakna kita meletakkan sebahagian kawalan perundangan kepada pihak asing. Ia adalah baik jika semua negara di dunia menyertainya. Jika ada negara lain tidak menyertainya, mengapa kita perlu menyerahkan sebahagian kedaulatan kita kepada sistem perundangan pihak luar?

Sejak Mei 2018 wujud tulisan-tulisan daripada anggota pentadbiran kerajaan baharu yang menyindir dan mengkritik institusi beraja negara. Ini menimbulkan kebimbangan jika Statut Rom sebenarnya adalah agenda setting bagi mewujudkan kebencian rakyat terhadap institusi Raja-Raja Melayu di negara ini. Tidak bolehkah negara ini ditadbir secara tertib, terhormat dan penuh diplomasi seperti budaya Melayu dan ajaran Islam?

Persoalan lebih penting, Malaysia hanya ada sehingga Jun 2019 untuk menarik diri daripada Statut Rom yang ditandatangani pada Mac 2019. Adakah surat penarikan sudah dihantar?

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasionalis (Akar)


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.