Beri masa kepada kerajaan PH buktikan kemampuan

Gambar Sumber Internet
Gambar Sumber Internet
A
A
A

Tanggal 9 Mei 2019, genaplah setahun pentadbiran Pakatan Harapan (PH). Tidak ramai meramal PH mampu menawan Putrajaya kecuali Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menerusi kajian daripada Invoke Malaysia yang dikelolakannya.

Sejarah tercipta, sejarah baharu pasti menyusul. Peralihan kuasa daripada Barisan Nasional (BN) kepada PH berjalan lancar menyebabkan seluruh dunia mengagumi kelicinan proses peralihan tersebut.

Di negara lain, barangkali pertumpahan darah boleh tercetus namun di Malaysia, aman sungguh fasa peralihannya. Barisan Kabinet baharu diterajui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pantas mendapat dukungan rakyat.

Hanya tinggal beberapa hari sebelum menyambut ulang tahun pertama, banyak kisah melingkari perjalanan PH. Ramai yang berpuas hati, ramai juga mungkin memendam amarah. Ada yang tidak kena barangkali.

Penganalisis sosiopolitik dari Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berpendapat terdapat beberapa faktor menyebabkan rakyat kurang berpuas hati dengan pentadbiran PH sekarang.

“Empat faktor itu ialah PH dilihat kurang berjaya tangani isu ekonomi rakyat selain janji Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang banyak gagal dilunaskan.

“Selain itu, persepsi PH gagal menjaga isu melibatkan Melayu, agama Islam dan institusi diraja beredar dalam kalangan masyarakat.

“PH juga dilihat asyik menyalahkan kerajaan terdahulu namun kurang berjaya membaiki dan membuat pembaharuan lebih baik,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kajian sokongan baru-baru ini yang tidak begitu memihak kepada PH juga sebenarnya merupakan red alarm kepada parti tersebut dan memerlukan mereka lebih bekerja keras.

“PH perlu pastikan kerajaan mereka bukanlah kerajaan sepenggal seperti diungkap pelbagai pihak,” ujarnya.

Hakikatnya, kota Rom tidak dibina dalam sehari. Mungkin ayat berkenaan sesuai sungguh dengan situasi dihadapi PH yang kini diserang dari kiri, kanan, atas, bawah, seolah-olah sudah 60 tahun mereka mentadbir negara.

Rakyat begitu mendambakan perubahan dan mereka mahu ia dilaksana secepat mungkin. Dari tahun 2018 membawa ke tahun 2019, sering kali pemimpin negara meminta rakyat bersabar kerana bukan mudah membaiki ‘kebobrokan’ ditinggalkan kerajaan terdahulu.

“Saya harap kita boleh bersabar, insya-ALLAH, kalau kita boleh bekerjasama dalam keadaan aman dan tenteram, kita akan dapat pulihkan kewangan dan pembangunan negara.

Hari ini, kita telah berjaya mengurangkan sedikit hutang diambil kerajaan terdahulu.

“Tetapi untuk menghapuskan hutang sebanyak lebih RM1 trilion, seluruh rakyat termasuk kerajaan dan anggota kerajaan perlu ikat perut sikit supaya kita dapat kurangkan perbelanjaan biasa dan kita bayar hutang,” kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, 25 Mac lepas.

“Untuk memperbaiki sesuatu yang sudah lama bukan mudah, tiada tongkat sakti, tidak ada butang automatik yang anda boleh tekan (untuk selesaikan segala-galanya).

“Ia tidak berfungsi seperti itu. Ia memerlukan kerja keras dan air mata dan harus diusahakan oleh semua orang rakyat Malaysia,” kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah pada 18 Mac lepas.

Mengamati kenyataan dua pemimpin negara itu, boleh disimpulkan mereka sedang berusaha sehabis baik untuk memulihkan Malaysia. Cuma, mereka meminta rakyat bersabar sedikit.

Pandangan peribadi penulis, ya, penulis akan bersabar dan beri masa kepada mereka. Baru setahun, masih ‘bayi’. Moleklah benarkan mereka merangkak bertatih, berjalan dan kemudian berlari memacu Malaysia, negaraku tercinta!