JBPM terima reaksi negatif tubuh Skuad Bomba

Sayani menyampaikan sijil dan vest keselamatan kepada Skuad Bomba terlibat.
Sayani menyampaikan sijil dan vest keselamatan kepada Skuad Bomba terlibat.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) masih menerima reaksi negatif daripada sebahagian besar pengurusan madrasah dan sekolah agama berhubung penubuhan Skuad Bomba.

Pengarah JBPM Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba, Sayani Saidon berkata, sesetengah pihak memberikan alasan bahawa kekangan masa sedangkan modul berkenaan hanya memerlukan tempoh lapan jam dan dijalankan selama dua hari.

Menurutnya, keengganan mengikuti modul teknik menyelamat dan berkawad, penggunaan peralatan kebakaran serta latihan teori dan amali bagi menghadapi kecemasan juga disebabkan sebahagian pengurusan institusi terbabit mengambil sikap berserah kepada Allah tanpa berusaha terlebih dahulu.

"Tragedi kebakaran yang menimpa Darul Quran Iftifaqiyah, Kampung Dato Keramat, Kuala Lumpur pada 14 September 2017 mengorbankan seramai 23 orang pelajar serta menyebabkan kecederaan beberapa orang lagi pelajar dan kemusnahan sebahagian daripada bangunan pusat tahfiz amat meruntun hati, jiwa dan perasaan kita semua.

"Kita bukan sahaja kehilangan nyawa, malah tragedi itu memberi impak cukup besar dalam aspek pencegahan kebakaran selain kesedaran kepada institusi sekolah agama, tahfiz dan madrasah untuk mempertingkatkan aspek keselamatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kempen Kesedaran Keselamatan Kebakaran dan Pelancaran Skuad Bomba di Maahad Assafwah Lil Banat Padang Temusu di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah JBPM Kedah, Penolong Pesuruhjaya Bomba Syufaat Kamaron dan Mudir Maahad Assafwah Lil Banat Padang Temusu, Ahmad Fadzli Hashim merangkap Adun Pantai Merdeka

Sayani berkata, penubuhan Skuad Bomba bertujuan meningkatkan kesiap siagaan untuk mencegah kebakaran sekolah agama, tahfiz dan sekolah pondok dan sebagai bukti kerajaan sentiasa mengambil berat tentang kepentingan dan aspek keselamatan di institusi sekolah agama.

Artikel Berkaitan:

"Pendedahan awal berhubung keselamatan kebakaran di kediaman dan premis serta sekolah agama adalah sangat penting bagi membolehkan tindakan proaktif dapat diambil untuk melindungi nyawa dan harta benda daripada risiko jika berlaku perkara yang tidak diingini," katanya.

Menurutnya, pelbagai usaha dilakukan untuk menyedarkan masyarakat tentang bahaya kebakaran melalui kempen keselamatan kebakaran yang dilaksanakan.

"Antaranya ialah kempen bomba bersama masyarakat, seminar keselamatan kebakaran, ceramah kebombaan di institusi pengajian dari peringkat prasekolah hingga ke peringkat universiti, penubuhan pasukan keselamatan kebakaran di bangunan kerajaan dan swasta, penubuhan pasukan kadet bomba dan yang terkini adalah Skuad Bomba yang dianggotai pelajar sekolah agama.

"Ini bertujuan untuk mengelakkan serta meminimumkan terjadinya kes kebakaran terutamanya di sekolah agama dan mensasarkan angka sifar bagi kemalangan jiwa," katanya.