Ribut jejas 17 rumah, masjid

Abdul Yunus (kiri) meninjau keadaan ribut melanda rumah Rosnan (tiga dari kiri) dan menyebabkan kereta miliknya terbalik di Kampung Parit Mat Ali Tengah, Kuala Kurau, semalam.
Abdul Yunus (kiri) meninjau keadaan ribut melanda rumah Rosnan (tiga dari kiri) dan menyebabkan kereta miliknya terbalik di Kampung Parit Mat Ali Tengah, Kuala Kurau, semalam.
A
A
A

KUALA KURAU - Sebanyak 17 rumah dari tiga kampung di sini mengalami kerosakan akibat kejadian ribut yang melanda DUN Kuala Kurau, awal pagi semalam.

Kampung terlibat merupakan Kampung Sungai Baru Darat yang membabitkan lapan rumah terjejas bumbung, lapan rumah di Kampung Parit Mat Ali Tengah, sebuah rumah di Kampung Parit Tok Hin mengalami kerosakan serius serta Sekolah Kebangsaan(SK) Sungai Baru.

Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari berkata, pihaknya bersama pentadbiran daerah sudah mengadakan tinjauan dan memberi bantuan awal kepada kesemua mangsa terlibat bencana ribut itu.

"Hasil tinjauan mendapati kesemua rumah terlibat mengalami kerosakan serius termasuk sebuah sekolah kebangsaan.

"Di samping itu, Masjid As-Syafiq di Kampung Sungai Baru, di sini turut mengalami kerosakan teruk dengan nilai kerugian dianggarkan sekitar RM200,000.

"Memandangkan masjid itu tidak dapat digunakan sepenuhnya, saya melalui Pusat Khidmat DUN Kuala Kurau bersedia membantu menyediakan khemah dan peralatan bersesuaian yang diperlukan jemaah," katanya kepada media, di sini hari ini.

Abdul Yunus(dua dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada wakil keluarga yang terjejas rumah akibat ribut di Kuala Kurau hari ini.
Abdul Yunus(dua dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada wakil keluarga yang terjejas rumah akibat ribut di Kuala Kurau hari ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pegawai Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri memaklumkan pihaknya sudah melaporkan kejadian bencana itu kepada kerajaan negeri dan Pejabat Menteri Besar Perak bagi mendapatkan bantuan segera.

"Ketika ini, bantuan awal dari Tabung Pengurusan Bencana Daerah sudah disalurkan.

"Pada masa sama, Jabatan Teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kerian akan menilai nilai anggaran sebenar kerosakan membabitkan masjid dan sekolah untuk tujuan mendapatkan peruntukan baik pulih segera," katanya.

Dalam pada itu, seorang mangsa ribut, Rosnan Mat Saad,33, dari Kampung Parit Mat Ali Tengah mendakwa badannya seakan-akan terapung dan melayang sewaktu ribut melanda rumahnya.

Rosnan berkata, selain bumbung, tiga kereta miliknya dan keluarga diletakkan di halaman rumah turut diangkat ribut dan menyebabkan salah satunya terbalik.