Lokman nafi anjur sesi teh tarik 4 Putera Mahkota

Datuk Lokman Noor Adam
Datuk Lokman Noor Adam
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam menafikan Sesi Teh Tarik 4 Putera Mahkota Bersama Rakyat dirancang oleh pihaknya sebaliknya dirancang oleh salah seorang daripada anak raja terbabit.

Jelasnya dalam satu kenyataan, beliau hanya menyebarkan mesej yang diterima daripada salah seorang sahabat yang rapat dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim kepada ahli-ahli UMNO.

"Program ini program Istana, bukan program kami. Bila saya menerima WhatsApp dan poster dari seorang sahabat yang rapat dengan pihak TMJ, saya pun sebarkan dan tulis akan hadir.

"Memandangkan 'posting' saya rata-rata orang UMNO yang terima, maka sudah pastilah yang rancak menyebarkannya ialah dikalangan orang UMNO juga.

"Bila berita sampai ke pihak Istana, sudah wujud persepsi seolah-olah UMNO yang menganjurkan program ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Istana nafi penglibatan Raja Muda Selangor

"Ini menyebabkan salah seorang daripada ayahanda putera terbabit menasihati baginda untuk menunda program tersebut bagi mengelak fitnah seolah-olah 4 Putera Mahkota tersebut campurtangan dalam soal politik dengan menghadiri program UMNO," katanya.

Semalam, Lokman berkongsi di laman sosial poster program tersebut yang dinyatakan akan diadakan di Mahkota Parade, Banda Hilir Melaka, jam 5.30 petang hari ini.

Artikel Berkaitan:

Poster itu memaparkan gambar tiga putera raja iaitu Tunku Ismail; Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin; Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Al-Sultan Abdullah dan gambaran seorang lagi putera raja yang dirahsiakan identitinya.

Bagaimanapun, selepas satu jam menghantar jemputan itu, Lokman memaklumkan majlis itu mungkin tidak akan menjadi kenyataan kerana mendakwa telah menerima beberapa panggilan telefon.

Sehubungan itu, Lokman berkata, semua pihak diminta tidak melayan laporan yang disiarkan oleh sebuah portal berita yang mendakwa dirinya mengalami tekanan kerana gagal menganjurkan program tersebut.

"Tidak benar. Program ini program mereka, saya cuma tolong sebar bagi meramaikan lagi program tersebut. Kita sayang Sultan dan Tengku Mahkota kita, kita tidak mahu ada yang mengata program baginda kurang sambutan pula nanti.

"Maklumlah, zaman Malaysia Baharu ni, TMJ dilihat lantang menyuarakan kepentingan rakyat. Beliau antara yang paling teruk menjadi sasaran Tun Mahathir. Harap semua jelas, terima kasih," katanya.

Sementara itu, Pejabat Raja Muda Selangor menafikan penglibatan Tengku Amir Shah dalam program yang dipromosikan sebagai 'Santai Teh Tarik Bersama 4 Putera Mahkota' oleh UMNO.

"Adalah dengan ini dimaklumkan bahawa Pejabat DYTM Raja Muda Selangor menafikan penglibatan DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dalam program Santai Teh Tarik bersama 4 Putera Mahkota seperti yang tertera di dalam poster yang tular baru-baru ini.

"Penggunaan gambar DYTM Raja Muda Selangor tanpa kebenaran rasmi pihak Istana Selangor juga amatlah dikesali.

"Justeru, rakyat diingatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan maklumat palsu yang mengelirukan tanpa pengesahan rasmi pihak istana,” kata Setiausaha Sulit Raja Muda Selangor, Saidatul Asyikin Muhammad Johar dalam kenyataan media hari ini.