Tentera Israel tahan suami temani isteri sakit di laluan Erez

Laluan Erez satu-satunya laluan yang menghubungkan Gaza dan Baitulmaqdis.
Laluan Erez satu-satunya laluan yang menghubungkan Gaza dan Baitulmaqdis.
A
A
A

GAZA CITY - SEMENANJUNG GAZA. Penindasan rejim Zionis ke atas penduduk Palestin di Semenanjung Gaza berterusan dan terbaharu tentera Israel bertindak menahan seorang lelaki yang mengiringi isterinya di laluan Erez.

Jenin Media Center melaporkan, Karam Mustafa Muhammad Tantawi, 51, dari Khan Younis ditahan untuk siasatan.

Tantawi sebelum itu menemani isterinya, Safaa Abded Al-Majid, 47, ke Baitulmaqdis bagi rawatan kanser.

“Pasangan ini meninggalkan Gaza pada 1 April lalu untuk mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Baitulmaqdis.

“Namun apabila mereka mahu kembali ke Gaza, tentera Israel menahan si suami dan mengarahkan si isteri pulang bersendirian,” menurut laporan itu.

Laluan Erez merupakan satu-satunya laluan yang menghubungkan Gaza dengan Baitulmaqdis dan dikawal oleh tentera Zionis sejak berdekad lalu.

Penduduk Palestin sering ditahan dan soal siasat selama berjam-jam, malah dalam beberapa kes sehingga beberapa hari.

Dalam perkembangan berasingan, polis Israel menculik seorang kanak-kanak Palestin dari dalam pekarangan kompleks Masjid Al-Aqsa.

Artikel Berkaitan:

Sumber tempatan berkata, Hammam Al-Huseini ditahan dipindahkan ke pusat tahanan berhampiran untuk disoal-siasat.

Polis Israel sering menyasarkan remaja Palestin termasuk kanak-kanak di berusia bawah 10 tahun dengan penculikan, tahanan rumah dan larangan memasuki kota suci Baitulmaqdis. - Agensi