Nelayan asing semakin biadab, tak takut penguat kuasa

Muhammad Suffi (kanan) dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim menunjukkan sebahagian hasil hasil laut yang dirampas daripada enam bot berkenaan.
Muhammad Suffi (kanan) dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim menunjukkan sebahagian hasil hasil laut yang dirampas daripada enam bot berkenaan.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Nelayan asing yang menceroboh perairan negeri ini, bukan saja tidak takut undang-undang malah enggan mengikut arahan sehingga penguat kuasa terpaksa melepaskan tembakan amaran ke udara.

Bagaimanapun, tindakan biadab mereka itu menerima padah apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan enam bot nelayan asing bersama 63 anak kapal termasuk tekong Vietnam pada Khamis dan Jumaat lalu.

Kesemua mereka yang berusia 15 hingga 59 tahun termasuk dua individu bawah umur ditahan bersama hasil laut negara yang 'dirompak' bernilai keseluruhan RM6 juta.

Pengarah APMM Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, empat daripada enam bot ditahan di kawasan cari gali minyak negara berdekatan dengan sempadan perairan Malaysia-Vietnam manakala dua lagi di kawasan yang berasingan.

"Bot pertama yang membawa 19 nelayan termasuk tekong ditahan di kedudukan 145 batu nautika timur Kuala Terengganu pada jam 7.30 pagi. Manakala bot kedua membawa 9 nelayan termasuk tekong ditahan di kedudukan 142 batu nautika timur Kuala Terengganu pada jam 10.30 pagi.

Sebahagian daripada 63 nelayan asing warga Vietnam yang ditahan.
Sebahagian daripada 63 nelayan asing warga Vietnam yang ditahan.

"Bot ketiga pula yang membawa 8 nelayan termasuk tekong ditahan di kedudukan 153 batu nautika timur Kuala Terengganu, jam 12.05 tengah hari dan bot keempat membawa 5 nelayan termasuk tekong ditahan di kedudukan 141 batu nautika timur Kuala Terengganu jam 4.01 petang" katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, dua lagi bot yang disyaki bot klon membawa 22 nelayan termasuk tekong ditahan pada keesokan harinya (Jumaat) di kedudukan 51 dan 53 batu nautika timur Kuala Terengganu, jam 1.20 dan 1.55 petang.

"Sikap degil tekong bot berkenaan yang enggan berhenti menyebabkan kami terpaksa melepaskan tembakan amaran ke udara untuk menghalang bot terbabit melepaskan diri sebelum meneruskan usaha menahan lima lagi bot," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Suffi berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati tekong bot kelima yang menggunakan nombor pendaftaran tempatan juga memiliki satu diari yang merekod nama aset-aset Kapal APMM yang sentiasa melakukan rondaan di kawasan perairan Laut China Selatan.

"Ini jelas menunjukkan bahawa setiap pergerakan aset-aset APMM sentiasa diawasi oleh bot-bot nelayan Vietnam yang mana mereka akan menghilangkan di perairan antarabangsa apabila kapal-kapal APMM dikesan menghampiri kawasan pencerobohan mereka," katanya.

Salah sebuah bot yang disyaki bot klon milik nelayan Vietnam yang ditahan.
Salah sebuah bot yang disyaki bot klon milik nelayan Vietnam yang ditahan.

Kesemua yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa lesen yang sah dan kebenaran Pengarah Perikanan Malaysia, Seksyen 14(4)(b) Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan huruf, nombor atau lain-lain cara pengenalan sesuatu vesel penangkapan ikan yang lain.

Siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985 kerana bot beroperasi tanpa lesen sah dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Sementara itu, Muhammad Suffi berkata, dalam tempoh Januari hingga April tahun ini, Maritim Terengganu dan Zon Maritim Kemaman memeriksa sebanyak 533 buah vesel dan 32 daripadanya bersangkut kes yang membabitkan anggaran rampasan sebanyak RM32 juta.