KKM bentang cadangan wajib suntikan vaksin 8 Mei ini

Dzulkefly merasmikan Sambutan Minggu Imunisasi Peringkat Kebangsaan di Taman Tasik Cempaka di Bandar Baru Bangi hari ini. - Foto Twitter Bernama
Dzulkefly merasmikan Sambutan Minggu Imunisasi Peringkat Kebangsaan di Taman Tasik Cempaka di Bandar Baru Bangi hari ini. - Foto Twitter Bernama
A
A
A

BANGI - Cadangan mewajibkan ibu bapa memberi suntikan imunisasi kepada anak-anak mereka akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Pemandu Perancangan Kementerian Kesihatan pada 8 Mei untuk kelulusan, sebelum penelitian lanjut oleh Kabinet.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pandangan pelbagai pihak turut diperolehi, termasuk agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) serta persatuan yang berkaitan dalam meneliti isu-isu dan perkara yang perlu dimasukkan dalam kertas cadangan kebolehlaksanaan tindakan untuk mewajibkan suntikan imunisasi itu.

“Saya akan pengerusikan dan bincangkan (peringkat pasca Kabinet) dahulu dan hasil daripada itu, kita akan angkat ke kabinet...Apa yang penting supaya kewajipan imunisasi adalah pilihan untuk memastikan anak-anak dapat dilindungi dan mencapai imuniti kelompok sehingga 97 peratus penerimaan ibu bapa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Imunisasi Peringkat Kebangsaan di Taman Tasik Cempaka di sini, hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Khalid Ibrahim.

Media sebelum ini melaporkan mengenai penubuhan pasukan petugas khas bagi merealisasikan cadangan dan dasar untuk mewajibkan suntikan imunisasi vaksin di negara ini akan dikemukakan kepada Kementerian Kesihatan (KKM), akhir bulan ini.

Sementara itu, Dzulkefly berkata kerajaan komited meneruskan Program Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan, seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan pada pilihan raya umum lepas meskipun kerajaan perlu menanggung kos yang agak tinggi.

KKM, katanya memperuntukkan hampir RM150 juta setahun untuk Program Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan yang memanfaatkan seramai hampir 500,000 bayi yang dilahirkan setiap tahun sehingga ke murid sekolah berumur 15 tahun.

Vaksin yang diberi boleh memberi perlindungan terhadap 12 jenis jangkitan, termasuk Tuberkulosis (TB), Hepatitis B, difteria, tetanus (kancing gigi), batuk kokol, polio, campak, beguk dan rubella. Bagi murid perempuan berumur 13 tahun, vaksin Human Papilloma Virus (HPV) diberi manakala di Sarawak pula, vaksin Japanese Encephalitis turut diberi.

Artikel Berkaitan:

Dalam ucapannya, Dr Dzulkefly meminta orang ramai usah mudah mempercayai maklumat tidak benar mengenai gerakan anti-vaksin yang dengan aktif mengajak masyarakat untuk meragui keselamatan dan keberkesanan vaksin.

Hasilnya liputan imunisasi yang tidak menyeluruh menjadi faktor penyumbang kepada merebaknya jangkitan dalam masyarakat seterusnya punca peningkatan ini.

“Tahun lepas, terdapat 1,958 kes demam campak di seluruh Malaysia dengan enam kematian, berbanding dengan 1,709 kes dan dua kematian pada 2017. Sebanyak 892 kes Pertussis (batuk kokol) dicatatkan dengan 22 kematian pada 2018, juga meningkat dari 353 kes dengan 13 kematian pada 2017.

“Manakala sebanyak 18 kes difteria telah dicatatkan dengan enam kematian pada 2018 berbanding 32 kes dengan tujuh kematian pada 2017. Majoriti kes-kes ini tidak menerima suntikan vaksin. Ada juga kes berlaku dalam kalangan bayi yang belum layak menerima suntikan vaksin,” katanya. - Bernama