Siswa Asean jadi sukarelawan contoh

Zuraidah dan Pengarah Pembangunan Manusia, Jabatan Komuniti Sosio-Budaya ASEAN Sekretariat ASEAN Rodora Turalde Babaran bergambar bersama para peserta ketika menghadiri 'YSS-ASEAN Volunteer Leadership Development Programme (VLDP) and Alumni Strategic Retreat (ASR)' di Bangi Avenue Convention Centre (BACC), semalam. - Foto Bernama
Zuraidah dan Pengarah Pembangunan Manusia, Jabatan Komuniti Sosio-Budaya ASEAN Sekretariat ASEAN Rodora Turalde Babaran bergambar bersama para peserta ketika menghadiri 'YSS-ASEAN Volunteer Leadership Development Programme (VLDP) and Alumni Strategic Retreat (ASR)' di Bangi Avenue Convention Centre (BACC), semalam. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) dilihat mampu membentuk siswa Asean menjadi contoh dalam memahami dan membantu mengatasi krisis bencana yang dihadapi masyarakat serantau.

Pengerusinya, Datuk Zuraidah Atan berkata ini kerana setiap penganjuran program sukarelawan akan memberi pendedahan kepada siswa mendekatkan diri dengan masyarakat.

Menurutnya, sejak YSS ditubuhkan pada 2012, seramai 1,500 anggota bergiat aktif dalam menjalankan kerja sukarelawan di seluruh negara Asean.

"Kita bukan sahaja giat membangunkan pemimpin sukarelawan di Malaysia tetapi juga di negara-negara lain. Kita mahu melahirkan sukarelawan yang boleh dijadikan model untuk semua sukarelawan terutamanya di peringkat dunia," katanya.

Ketika ditemui pada Program Pembangunan Kepemimpinan Sukarelawan (VLDP) dan ‘Alumni Strategic Retreat (ASR) YSS-Asean, di Bangi semalam, Zuraidah berkata penyertaan siswa ini adalah persediaan untuk membentuk mereka menjadi pemimpin yang prihatin dan berintegriti suatu hari nanti.

YSS adalah sebuah pertubuhan yang mengumpulkan semua sukarelawan siswa pelbagai institusi pengajian tinggi dari 10 negara Asean.

Pelajar dari Malaysia yang menyertai YSS, Taqiuddin Hamzah, 27, berkata pengalaman selama setahun bersama badan bukan kerajaan (NGO) itu berjaya memupuk sikap membantu orang lain yang tidak terbatas kepada satu negara sahaja.

Menurutnya, pengalaman menyertai program sukarelawan di Vietnam dan Indonesia sebelum ini membantunya mengenali budaya rakyat di negara jiran yang dekat dengan dirinya.

"Siswa ASEAN terutamanya YSS ini dapat menjadi mobiliti budaya yang mewujudkan ruang mengenali budaya lain sekali gus menjadikan kita lebih menghormati serta lebih dekat dengan mereka.
Artikel Berkaitan:


"Ini adalah pembelajaran di luar kelas yang membentuk jiwa siswa dan menekankan konsep 'one vision, one identity and one community'," kata pelajar jurusan kewangan dan perbankan Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) itu.

Satu-satunya peserta dari China, Ma Wenxin@Hind Hasan, 24, berkata program YSS yang disertainya sejak setahun lepas memberi peluang kepadanya untuk berkongsi ilmu dan pengalaman dengan mereka yang memerlukan.

Menurutnya, ketika menyertai program YSS di Sarawak, Julai lepas, beliau membantu keluarga di kawasan pedalaman dari segi pembelajaran dan hubungan tersebut masih kekal terjalin.

"Ini adalah pengalaman berharga dan menjadi pembakar semangat untuk meneruskan program ini bagi membantu masyarakat China muslim di negara ini terutamanya dalam kalangan pelajar.

"Setiap kali habis program sukarelawan, ia memberi pengalaman dan kenalan baharu dari negara lain sekali gus mengenali budaya mereka," kata pelajar tahun kedua jurusan sarjana pembangunan dari Universiti Malaya yang fasih berbahasa Melayu itu.

Pelajar dari Indonesia, Ta'miratul Biroroh yang menyertai YSS sejak dua tahun lalu, mengakui dia menimba banyak pengalaman daripada rakan-rakan Asean yang aktif menjalankan program sukarelawan di negara masing-masing.

"Boleh jumpa kawan-kawan dari pelbagai negara dan inisiatif pembelajaran yang telah dilakukan mereka.

"Kami sedang merangka pelan sukarelawan dan pada April tahun hadapan satu program sukarelawan dengan kerjasama siswa dari Malaysia akan diadakan di Indonesia khususnya di kawasan terpencil," kata pelajar jurusan undang-undang dari Universitas Islam Negeri Sunan Ampel, Surabaya, Indonesia.

Pada program enam hari yang bermula Rabu lepas itu, kira-kira 200 sukarelawan telah dibawa melawat Perpustakaan Negara dan Muzium Bank Negara semalam manakala hari ini, mereka akan melawat Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya dan Limkokwing University of Creative Technology.- Bernama