Pantau keperluan tenaga anak prasekolah

Piramid makanan untuk anak-anak prasekolah.
Piramid makanan untuk anak-anak prasekolah.
A
A
A

ADAKAH anda mempunyai anak prasekolah?

Tahukah anda jika dia mendapat tenaga dan nutrien secukupnya untuk bertahan sepanjang hari dan untuk menyokong pertumbuhan dan perkembangannya?

Soalan ini mungkin sukar dijawab, terutama apabila ramai keluarga dengan ibu bapa bekerja sepenuh masa.

Mereka mungkin tidak dapat mengawasi anak mereka dengan sepenuhnya untuk memastikan dia mendapat pemakanan sempurna.

Prasekolah merupakan satu cabaran tambahan kerana anak anda perlu menyesuaikan dirinya dalam persediaan untuk ke sekolah.

Dari segi waktu makan, mereka perlu mula membiasakan diri dengan senario biasa, iaitu tiga waktu makan sehari dengan snek sihat antara waktu makan (kerana tiga waktu makan utama tidak mencukupi baginya).

Keperluan pemakanan harian

Mulakan harinya dengan memastikan anak anda makan sarapan setiap pagi.

Beberapa cadangan untuk sarapan termasuk bijirin sarapan dan susu (serta pisang), pau kukus dan susu soya, atau capati dan minuman coklat bermalt.

Artikel Berkaitan:

Sediakan juga snek antara dua waktu makan utama (iaitu makan tengah hari dan makan malam).

Makan tengah hari dan makan malam juga harus membekalkan tenaga dan nutrien untuk anak anda.

Contoh hidangan semua-dalam-satu termasuk nasi atau mi sup (dengan daging ayam/ daging tanpa lemak dan sayur berdaun), sandwich (berinti ayam/ daging panggang/ tuna dan sayur), pasta dan pai ayam/ daging.

Pengambilan tiga hidangan utama sehari adalah tidak mencukupi bagi kanak-kanak yang sihat dan membesar.

Mereka juga perlukan snek berkhasiat antara waktu makan untuk mengekalkan tahap tenaganya sepanjang hari dan memenuhi jurang pemakanan. Tetapi, jangan beri snek terlalu hampir dengan waktu makan kerana selera makannya akan terjejas.

Pilihan snek berkhasiat yang boleh dibekalkan apabila anak anda dihantar ke prasekolah/ pusat asuhan termasuk: susupaket, yogurt, sandwich telur/ keju, jagung dalam cawan, hirisan timun/ lobak/ batang daun saderi, buah segar/ kering (pisang, epal, jambu batu, betik, tembikai susu, kismis, kurma, dan lain-lain), biskut oat/ keju, atau minuman seperti jus buah 100 peratus dan susu kacang soya.

Perkara yang penting adalah untuk memberi anak anda hidangan yang seimbang dan terdiri daripada pelbagai makanan dalam sukatan sederhana.

Prinsip BMV

Prinsip seimbang, sederhana, dan pelbagai (balance, moderation and variety, BMV) adalah penting untuk gaya hidup sihat.

BMV bermaksud diet harian harus seimbang dengan memakan kesemua lima kumpulan makanan dalam Piramid Makanan Malaysia, dalam sukatan sederhana mengikut saranan jumlah sajian, dan pelbagaikan makanan dalam setiap kumpulan makanan untuk memenuhi kesemua keperluan pemakanan seseorang.

Susu adalah makanan paling lengkap dari segi khasiat pemakanan dan diperlukan oleh kanak-kanak membesar.

Ia boleh dijadikan penyelesaian pantas terutama jika diet kanak-kanak tidak seimbang (disebabkan tabiat pilih makan atau hidangan tidak berkhasiat).

Susu mengandungi protein, kalsium, vitamin D, magnesium dan kalium yang diperlukan untuk tumbesaran tulang.

Anak anda dinasihatkan minum dua ke tiga cawan susu setiap hari agar membantu mengurangkan jurang pengambilan nutrien yang mungkin dihadapi bila dia dihantar ke prasekolah atau pusat asuhan

Pilih hidangan sihat

Pemakanan sempurna diperlukan apabila anak anda sedang membesar.

Berikan lebih perhatian dalam membekalkan ‘tenaga’ yang mencukupi dan nutrien penting untuk pertumbuhan dan perkembangannya.

Walaupun pilihan sihat harus dititikberatkan, ini tidak bermakna anak anda patut dilarang sama sekali makan makanan kurang berkhasiat yang manis, bergoreng atau minum minuman bergula.

Kegemaran rakyat Malaysia seperti kuih-muih, cendol, ABC, karipap, pisang goreng, sosej, nuget, air sirap, minuman ringan atau berperisa buah boleh diambil sekali-sekala.

Asalkan anda tidak memberi dia terlalu banyak ataupun setiap hari!

Dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia.

Sumber: mypositiveparenting.org