Majikan digalak menggaji bekas banduan

Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran bersama timbalannya Datuk Mahfuz Omar bergambar bersama para peserta larian Labour Day Run & Ride 2019 sempena Hari Pekerja di Dataran Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran bersama timbalannya Datuk Mahfuz Omar bergambar bersama para peserta larian Labour Day Run & Ride 2019 sempena Hari Pekerja di Dataran Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Majikan digalakkan menggaji bekas banduan bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja di negara ini, kata Menteri Sumber Manusia M.Kula Segaran.

Beliau berkata, tindakan memberi peluang kerjaya kepada golongan bekas penghuni penjara itu akan memberikan harapan kepada mereka untuk meneruskan kehidupan sebaik dibebaskan.

Katanya, beberapa kementerian, antaranya Kementerian Belia dan Sukan telah mula memberi penekanan dengan menawarkan pekerjaan dan inisiatif kepada majikan yang menggaji bekas banduan.

“Kita harap majikan akan memberi peluang, kerana ini adalah satu perkara yang perlu diambil kira kerana kadar pengangguran di Malaysia adalah 3.3 peratus.

“Jadi, negara masih memerlukan pekerja dan saya berpendapat bahawa mana-mana bekas banduan perlu dibantu dengan memberi peluang kerjaya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Sedunia Bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2019 di Dataran Putrajaya di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilaporkan berkata beliau akan mengambil tiga bekas banduan untuk bekerja di pejabatnya sebagai usaha memberikan mereka peluang kerjaya.

Mengulas lanjut, Kula Segaran berkata kementeriannya juga akan menyediakan latihan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kepada golongan banduan sebelum mereka memulakan kerja.

Terdahulu, beliau melepaskan hampir 10,000 peserta tempatan dan luar negara yang mengambil bahagian program larian dan kayuhan ‘Labour Day Run & Ride 2019’ yang diadakan sempena Hari Pekerja tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Program itu membabitkan acara larian sejauh 5 kilometer (km) dan 10 km serta acara kayuhan sejauh 20 km dan 40 km.

Kula Segaran turut mengambil bahagian dalam acara ‘jalan santai’ sejauh 2.5 km bersama timbalannya Datuk Mahfuz Omar dan pegawai kanan kementerian.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pihaknya mengambil inisiatif menganjurkan program tahunan itu sebagai usaha ke arah mempromosi gaya hidup sihat serta memupuk kesedaran dalam kalangan pekerja.

“Negara melangkah ke arah Revolusi Perindustrian Keempat yang juga memerlukan tenaga kerja produktif yang sihat dan cergas. Jadi, kita mahu pekerja mengutamakan kesihatan dan keselamatan di tempat kerja,” katanya.

Berdasarkan Program Saringan Kesihatan yang menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma kepada pekerja berusia 40 tahun ke atas, Perkeso mendapati kira-kira 70 peratus mereka yang mengambil bahagian dalam program itu mengalami obesiti; kolestrol tinggi (67 peratus); tekanan darah tinggi (27 peratus) dan diabetes (13 peratus). - Bernama