'Mereka lupa kebajikan rakyat'

 Rizam Ismail
Rizam Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Pembangkang Selangor kecewa tindakan kerajaan negeri menarik Skim Mesra Usia Emas Khairat Kematian sebanyak RM2,500 dan digantikan dengan pemberian baucar Jom Shopping bernilai RM100 setahun.

Ketuanya, Rizam Ismail berkata, perkara tersebut amat mendukacitakan sedangkan Selangor dikatakan sering memperoleh pendapatan tinggi berbanding negeri lain.

"Kerajaan negeri setiap tahun mendabik dada sebagai negeri utama menjana pendapatan tinggi untuk negara dan tidak mengabaikan kebajikan rakyat. Selepas diberi mandat, mereka lupa kebajikan rakyat yang harus mereka jaga dan bantu

"Sedangkan, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM256 juta bagi memberi wang RM2,500 kepada 103,320 waris warga emas yang meninggal dunia sejak tahun 2008," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Menurutnya, keputusan dibuat itu membuktikan bahawa kerajaan negeri sangat lemah dalam pengurusan perbelanjaan serta tadbir urus yang kurang efektif.

"Saya juga jangkakan akan ada kenaikan tarif air selepas ini dan tidak semua orang yang akan menikmati skim air percuma seperti sebelum ini yang diumumkan pada bajet 2019 lepas.

"Seharusnya kerajaan negeri mengekalkan skim bantuan untuk rakyat seperti sebelum ini malah menambah baik lagi skim yang ada untuk kebajikan rakyat memandangkan mandat rakyat diberikan sangat tinggi," katanya.

Menurutnya, rakyat Selangor diminta untuk kekal semangat dan berusaha fikir untuk meneruskan kehidupan di saat masalah ekonomi yang merosot, kos sara hidup yang tinggi dan tekanan hidup yang semakin tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Di saat segala kebajikan yang selama ini kita nikmati sedikit demi sedikit ditarik, maka saya tetap akan memperjuangkan keadilan dan kebajikan rakyat.

"Jika rakyat mampu menjatuhkan kerajaan yang berusia 60 tahun sebelum ini maka tidak mustahil rakyat akan menghukum kerajaan yang ada hari ini," katanya.

Kelmarin, kerajaan negeri menamatkan pemberian khairat kematian berjumlah RM2,500 kepada setiap warga emas bermula Mei ini.

Menteri Besar, Amirudin Shari, berkata keputusan susulan pelaksanaan pelarasan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang memperuntukkan RM100 setiap tahun kepada golongan berkenaan menerusi program Jom Shopping Warga Emas.

“Kerajaan Selangor memperuntukkan RM20 juta setahun untuk program itu dan semua warga emas berdaftar layak menerimanya bermula Oktober ini.

“Menerusi langkah ini, kerajaan negeri menjangkakan lebih 200,000 warga emas akan dapat menikmati manfaat ini sepanjang hidup mereka,” katanya.