Anning mahu haramkan orang Islam, kulit hitam masuk Australia

Fraser Anning
Fraser Anning
A
A
A

CANBERRA - AUSTRALIA . Senator Australia yang mencetuskan kontroversi apabila menyalahkan program imigresen dan Islam sebagai punca serangan di Christchurch, New Zealand pada bulan lalu sekali lagi menimbulkan kemarahan orang ramai.

Kali ini, Senator Fraser Anning mengeluarkan kenyataan mahu mengharamkan kemasukan imigran dan berkulit hitam ke Australia.

Anning, 69, mengeluarkan kenyataan berbaur xenophobia itu di akaun Twitternya sebagai reaksi terhadap penahanan seorang penyokongnya oleh pihak berkuasa di Cronulla, semalam.

Pemuda berusia 19 tahun itu ditahan polis kerana menyerang seorang jurugambar pada sidang akhbar yang dihadiri Anning di Dunningham Park.

“Hari ini saya berada di Cronulla untuk mengumumkan calon New South Wales (NSW). Sebagaimana yang diketahui umum, ini adalah kawasan Perdana Menteri dan kawasan ini menyaksikan pelbagai masalah yang dibawa oleh imigran Islam. Mereka datang ke sini dan melancarkan serangan.

“Parti saya akan mengharamkan semua imigran Islam dan kulit hitam dalam memastikan keselamatan penduduk Australia,” katanya.

Pergaduhan antara penyokong Anning dan jurugambar tercetus sebaik sahaja pemimpin itu mengumumkan untuk meletakkan ahli Parti Konservatif Kebangsaan bagi kerusi Cook yang dipegang oleh Perdana Menteri, Scott Morrison.

Ketika wartawan mengajukan soalan kepada Anning, beberapa penyokongnya menyampuk dan memberi jawapan kepada soalan-soalan itu.

Artikel Berkaitan:

Seorang wartawan yang menyaksikan kejadian itu berkata, kumpulan itu mula melakukan serangan peribadi dengan komen-komen kesat terhadap seorang wartawan tempatan, Eliza Barr selepas dia menegaskan tidak melihat sebarang bukti jenayah berunsur kebencian yang dibawa oleh penduduk Islam di kawasan itu.

Jurugambar Dylan Robinson cuba merakam gambar lelaki yang mengeluarkan komen kesat itu sebelum dia diserang oleh seorang remaja dan cuba merampas kamera daripadanya.

Bulan lalu, kepala Anning dihempuk dengan sebiji telur oleh seorang remaja Will Connolly atau Egg Boy selepas mengeluarkan kenyataan tidak sensitif berhubung serangan di dua buah masjid di Christchurch.

Beliau turut dikecam beramai-ramai oleh anggota Parlimen Australia. - Agensi