Pas sokong Linda Tsen di Sandakan

 Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pas akan memberi sokongan padu kepada calon dari Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Linda Tsen Thau Lin dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan bermula semalam hingga 11 Mei nanti.

Menerusi satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, langkah tersebut diambil bagi menguatkan blok pembangkang.

Menurutnya, ia penting kerana pembangkang akan memainkan peranan semak dan imbang kepada kerajaan di dalam Parlimen demi kebaikan negara dan rakyat.

“Selaras dengan itu, Pas khususnya Pas Sandakan dan Pas Sabah akan menggerakkan jentera pilihan raya setempat.

“Ia bagi memastikan ahli dan penyokong Pas di kawasan ini supaya turun membuang undi pada 11 Mei 2019 bagi membantu calon blok pembangkang dari PBS iaitu Linda Tsen dalam menghadapi PRK ini,” katanya.

PRK Parlimen Sandakan menyaksikan pertembungan lima penjuru melibatkan calon DAP, PBS dan tiga calon Bebas.

DAP mempertaruhkan Vivian Wong Shir Yee, 30, anak bongsu penyandang kerusi Parlimen Sandakan sebagai calon untuk mempertahankan kawasan itu, dicabar calon PBS, Linda Tsen 63, yang juga bekas Ahli Parlimen Batu Sapi.

Sementara itu, PRK Parlimen Sandakan turut dimeriahkan lagi dengan penyertaan tiga calon Bebas iaitu Chia Siew Yung, Sulaiman Samat dan Hamzah Abdullah.

Artikel Berkaitan:

PRK Parlimen Sandakan diadakan selepas penyandangnya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt, dari DAP, meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 28 Mac lepas.

Mendiang Wong dipilih sebagai anggota Parlimen Sandakan selama dua penggal sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) apabila berjaya mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Leong Vui Keong dengan majoriti 1,088 undi.

Pada PRU-14 lepas, mendiang Wong berjaya mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 10,098 undi untuk mengalahkan calon BN, Datuk Lim Ming Hoo.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon PRK Parlimen Sandakan 27 April dan hari mengundi pada 11 Mei dengan hari pengundian awal pada 7 Mei.

Parlimen Sandakan mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tanjong Papat dan Elopura dengan jumlah 40,131 pemilih layak mengundi termasuk 270 pengundi awal dan lima pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara.

Daripada jumlah pengundi itu, 20, 274 orang adalah wanita, manakala 19,857 lelaki.