Perbelanjaan pembangunan vendor TNB cecah RM15 bilion sejak 1994

 Tenaga Nasional Bhd (TNB)
Tenaga Nasional Bhd (TNB)
A
A
A

KUALA LUMPUR – Tidak ramai yang tahu bahawa gergasi utiliti negara, Tenaga Nasional Bhd (TNB) telah membelanjakan sejumlah RM15.4 bilion bagi pembangunan vendor sejak 1994.

Perbelanjaan yang amat besar ke atas elemen terpenting dalam ekonomi domestik itu, terzahir dalam bentuk kontrak kepada vendor, khususnya perusahaan kecil dan sederhana.

Pengerusi Tan Sri Leo Moggie berkata, TNB sangat aktif dalam menyokong pembangunan vendor tempatan.

"Sebahagian daripada mereka telah berkembang dan sudah mampu untuk memasarkan produk mereka ke luar negara," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sejak 2014, separuh daripada perolehan TNB telah dianugerahkan kepada vendor tempatan.

TNB juga telah memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan sejak penubuhannya pada 1951, semasa ia masih dikenali sebagai Lembaga Letrik Pusat.

Ketika itu, ia menyediakan biasiswa kepada pelajar-pelajar Tanah Melayu untuk berkursus di Kolej Teknikal Brighton di England.

"Sejak awal hingga hari ini, kami masih mengekalkan penyediaan biasiswa dan bantuan pendidikan sebagai salah satu komponen utama tanggungjawab sosial korporat TNB," katanya.

Artikel Berkaitan:

Syarikat tersebut, melalui penubuhan Yayasan Tenaga Nasional pada 1993, telah menyokong lebih daripada 10,000 orang pelajar siswazah dengan kos melebihi RM1 bilion.

Beliau berkata selain biasiswa sedia ada, ia juga memperkenalkan program biasiswa MyBetterFuture yang mensasarkan golongan berpendapatan rendah atau B40 meliputi semua kaum.

Program itu yang dimulakan pada tahun lepas, telah menyediakan 945 pelajar daripada golongan B40 dengan yuran tuisyen serta elaun poket untuk meringankan beban keluarga mereka.

Satu lagi sumbangan dalam sektor pendidikan adalah penubuhan Universiti Tenaga Nasional pada 1997, universiti ini telah melahirkan lebih daripada 20,000 graduan, termasuk Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar. - Bernama